Baleh Diperkasa Sebagai Destinasi Ekopelancongan, Pengembaraan Dan Budaya
KUCHING: Kerajaan Sarawak komited memperkukuh sektor pelancongan di Baleh dengan memanfaatkan keindahan sungai, hutan hujan, kawasan tanah tinggi, biodiversiti serta warisan budaya komuniti rumah panjang bagi menjadikannya destinasi ekopelancongan, pengembaraan dan kebudayaan yang tersendiri.
Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Datuk Sebastian Ting Chiew Yew berkata, pembangunan pelancongan di kawasan itu berpandukan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) yang memberi penekanan kepada pembangunan produk pelancongan berasaskan alam semula jadi dan budaya tempatan.
"Kerajaan akan terus mempertimbangkan sokongan tambahan dari segi peruntukan, kemudahan asas dan infrastruktur pelancongan seperti akses jalan, jeti, papan tanda dan kemudahan keselamatan, tertakluk kepada keutamaan negeri dan kemampuan kewangan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Baleh, Nicholas Kudi Juntai dalam Mesyuarat Kedua Penggal Kelima, Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 pada Selasa.
Tambahnya, Kerajaan Sarawak akan membangunkan produk ekopelancongan dan pengembaraan seperti aktiviti sungai, berakit, meredah denai, ekspedisi hutan, inap desa dan pengalaman kebudayaan, serta menghubungkannya dengan Kapit, Song, Belaga dan Sibu bagi membentuk rangkaian pelancongan yang lengkap.
Menurut Datuk Sebastian, Ekspedisi Bukit Mabong dan Baleh-Kapit Raft Safari merupakan antara acara utama yang telah dimasukkan dalam Kalendar Acara Sarawak serta menerima sokongan melalui Geran Acara dan Pesta.
Selain itu katanya, Borneo River Cruise yang dilancarkan semasa ITB Berlin tahun ini dijadualkan memulakan operasi pada suku pertama 2027, menawarkan perjalanan beberapa hari menyusuri Sungai Rajang dari Sibu ke Kapit dan seterusnya
Justeru katanya, Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) akan menjadikan Ekspedisi Bukit Mabong dan Baleh-Kapit Raft Safari sebagai pengalaman tambahan untuk penumpang kapal persiaran, selain bekerjasama dengan pengusaha pelancongan membangunkan pakej lanjutan dari Kapit ke Baleh.
"Kementerian mengalu-alukan bantuan Ahli Yang Berhormat untuk mengenal pasti rumah panjang yang berminat menyertai program ini supaya lebih ramai penduduk Baleh dapat menikmati manfaatnya," jelas beliau. -EDISI UKAS
Disediakan Oleh: Ahmad Daniel Faiz
Gambar: Hazrin Sunaini