Sejarah Rumah Panjang Perlu Direkodkan Sebelum Ketiadaan Generasi Tua
KUCHING: Sejarah rumah panjang, asal usul penempatan dan tradisi masyarakat di kawasan pedalaman Sarawak perlu direkodkan segera bagi mengelakkan pengetahuan berharga yang diwarisi generasi terdahulu hilang ditelan zaman.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamin, Ir Christopher Gira Sambang berkata, Perpustakaan Negeri Sarawak perlu memainkan peranan lebih aktif dalam mendokumentasikan sejarah tempatan dengan kerjasama pemimpin masyarakat, sekolah dan pertubuhan kebudayaan.
Jelasnya, usaha itu penting kerana golongan tua dalam komuniti memiliki pengetahuan tentang sejarah pembentukan rumah panjang, penghijrahan penduduk, kehidupan masyarakat serta adat dan tradisi yang diwarisi secara turun-temurun.
“Sejarah kita bukan hanya terkandung dalam dokumen rasmi, tetapi juga dalam ingatan dan pengalaman orang biasa yang membangunkan kampung serta rumah panjang mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Perpustakaan Negeri Sarawak sempena Mesyuarat Kedua Bagi Penggal Kelima, Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, di sini pada Selasa.
Menurutnya, pengetahuan berkenaan perlu dikumpulkan secara sistematik melalui temu bual bersama golongan tua, pengumpulan gambar lama dan rekod keluarga bagi memastikan sejarah komuniti terus terpelihara untuk rujukan generasi akan datang.
Untuk tujuan itu, beliau mencadangkan supaya Perpustakaan Negeri Sarawak bekerjasama dengan komuniti di kawasan Tamin dan Selangau bagi mengenal pasti serta merekodkan bahan sejarah tempatan yang masih disimpan oleh penduduk. -EDISI UKAS