Betong Selaras Intervensi Agensi Tangani Isu Sosial
BETONG: Penyelarasan intervensi antara agensi kerajaan menjadi tumpuan bagi menangani isu penyalahgunaan dadah, jenayah rogol dan gelandangan di Bahagian Betong menerusi pendekatan yang lebih tersusun serta pemantauan berterusan.
Timbalan Residen Bahagian Betong, Muhammad Nizam Wang berkata, Jawatankuasa Penyelarasan dan Pemantauan Sosial Bahagian Betong memainkan peranan penting dalam menyelaras tindakan agensi serta memantau perkembangan isu sosial yang dikenal pasti di peringkat bahagian.
Menurutnya, perubahan tingkah laku masyarakat dalam persekitaran yang semakin terbuka memerlukan perhatian berterusan dan tindakan susulan yang bersesuaian bagi memastikan kesejahteraan komuniti terus terpelihara.
Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Penyelarasan dan Pemantauan Sosial Bahagian Betong Bil. 1/2026 di Bilik Mesyuarat Kenyalang, Pejabat Residen Bahagian Betong, pada Selasa.
Mesyuarat itu turut meneliti Tren Sosial Bahagian Betong bagi 2025/2026 yang dibentangkan oleh Majlis Pembangunan Sosial Sarawak (MPS) di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak (KPWK).
Pejabat Kebajikan Masyarakat Bahagian Betong pula membentangkan laporan berkaitan gelandangan, warga emas dan statistik bantuan bagi tempoh 2025/2026.
Manakala Pejabat Pembangunan Negeri Sarawak Zon Sri Aman di bawah Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri membentangkan perancangan pembasmian kemiskinan, program Sejati MADANI serta statistik e-Kasih di bahagian berkenaan.
Selain itu, Seksyen Transformasi Sosial Bahagian (STSB) Betong membentangkan perancangan Program Intervensi Sosial Bahagian Betong Tahun 2026 bagi menyokong usaha menangani isu sosial di peringkat komuniti.
Muhammad Nizam berharap isu yang dikenal pasti dapat ditangani melalui intervensi yang berkesan, dengan pelaksanaan setiap langkah terus dipantau bagi memastikan tindakan yang dirancang memberi manfaat kepada masyarakat.
Penyelarasan tersebut turut menyokong aspirasi kesejahteraan sosial menjelang 2030 selaras dengan Pelan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030), yang meletakkan keterangkuman sosial sebagai salah satu teras pembangunan Sarawak.-EDISI UKAS