Pindaan RUU Perpustakaan Negeri Sarawak Perkukuh Akses Digital Sejarah Negeri
KUCHING: Rang Undang-Undang (RUU) Pustaka Negeri Sarawak (Pindaan) 2026 bakal memperkukuh akses digital kepada bahan sejarah dan arkib negeri, sekali gus memastikan maklumat warisan Sarawak dapat dinikmati masyarakat di bandar mahupun kawasan pedalaman.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor berkata, pemeliharaan bahan sejarah dan akses kepada maklumat perlu bergerak seiring bagi memastikan warisan negeri terus terpelihara serta mudah diakses oleh generasi akan datang.
"Seksyen 3 mewajibkan Pustaka menyebarkan ilmu pengetahuan melalui rangkaian elektronik yang dihubungkan dengan perpustakaan di seluruh Malaysia dan luar negara
"Seksyen 11A menghendaki penyediaan daftar, panduan dan alat bantu pencarian, serta memberikan kuasa kepada Ketua Pegawai Eksekutif untuk menghasilkan semula dan menerbitkan arkib kita," katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan RUU Perpustakaan Negeri Sarawak (Pindaan) 2026 dalam Mesyuarat Kedua Penggal Kelima, Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 pada Selasa.
Tambahnya, Seksyen 17 pula membenarkan Lembaga membuka rekod untuk pemeriksaan dan penerbitan.
Selain itu tambahnya, usaha itu turut disokong oleh inisiatif sedia ada seperti Koleksi Digital Sarawak Kiana, perkhidmatan arkib RECAS dan program 'Pustaka In The Box' yang membawa sumber digital ke kawasan pedalaman.
Beliau memberitahu, Seksyen 29A yang diperkenalkan menerusi pindaan itu turut membolehkan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri mengemas kini Jadual deposit melalui pemberitahuan Warta bagi memastikan peraturan berkaitan kekal relevan dengan perkembangan penerbitan digital.
Sehubungan itu, beliau berharap Pustaka Negeri Sarawak dapat terus memperluas usaha berkenaan bagi memastikan pelajar di kawasan seperti Lingga memperoleh akses kepada sejarah Sarawak yang setara dengan penyelidik di Kuching. -EDISI UKAS
Disediakan Oleh: Ahmad Daniel Faiz
Gambar: Hazrin Sunaini