Kuntau Sarawak Ke Pentas Antarabangsa, Buka Ruang Kepada Golongan Muda
KUCHING: Penyertaan pengamal Kuntau Melayu, Kuntau Iban dan Kuntau Bidayuh dalam International Martial Arts Contest 2026 (IMAC 2026) di Chungju, Republik Korea, menjadi platform untuk memelihara warisan seni bela diri tradisional Sarawak, selain menarik minat golongan muda mendalami seni berkenaan.
Ketua Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tupong, Dato Fazzrudin Abdul Rahman, berkata penyertaan dalam pertandingan antarabangsa memberi peluang kepada kontinjen Sarawak untuk bertukar pengetahuan dan pengalaman dengan pengamal seni bela diri dari negara lain.
Menurut beliau, pertandingan seumpama itu juga penting dalam menyuntik semangat pengamal untuk terus mempelajari dan mengembangkan kemahiran seni bela diri tradisional.
“Pertandingan sangat penting untuk menjadi pembakar semangat untuk mereka belajar seni bela diri,” katanya ketika ditemui media selepas menyempurnakan pelepasan kontinjen Sarawak di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK), Selasa.
Kontinjen Sarawak menerusi Sarawak Kunto Federation akan mewakili negara pada kejohanan berkenaan.
Menurut Dato Fazzrudin lagi, pendedahan di peringkat antarabangsa turut membuka ruang kepada golongan muda untuk mengembangkan kemahiran dan membawa seni bela diri tradisional ke peringkat lebih tinggi.
Katanya, penyertaan itu juga membolehkan kontinjen Sarawak mempelajari teknik serta bertukar pandangan dengan pengamal seni bela diri dari pelbagai negara.
Kontinjen Sarawak membawa 22 orang, termasuk 10 atlet, manakala selebihnya terdiri daripada pegawai pengiring.
IMAC 2026 dijadual berlangsung dari 15 hingga 18 Oktober ini di Chungju, Republik Korea, dengan penyertaan 19 negara.
Pertandingan itu merangkumi pelbagai disiplin seni bela diri, termasuk acara berpasangan yang melibatkan penggunaan senjata dan tangan kosong serta persembahan berkumpulan.
Penyertaan kontinjen Sarawak diharap dapat memperluas pendedahan pengamal tempatan di peringkat antarabangsa, sekali gus membantu memastikan warisan kuntau terus dipelihara dan diwarisi oleh generasi muda.-EDISI UKAS