192 Pelajar UEC Ditawarkan Skim FTES Setakat 30 Jun
KUCHING: Seramai 192 pelajar yang memiliki Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) telah ditawarkan Skim Pendidikan Tinggi Percuma Sarawak (FTES) setakat 30 Jun 2026.
Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Datuk Dr Annuar Rapa’ee berkata, daripada jumlah itu, seramai 137 pelajar mengikuti pengajian di Universiti Teknologi Swinburne Kampus Sarawak, 21 di Universiti Curtin Malaysia Miri, 33 di Universiti Teknologi Sarawak (UTS) Sibu dan seorang di Kolej Universiti i-CATS.
“Ini menunjukkan bahawa tiada rakyat Sarawak yang layak harus dinafikan peluang pendidikan,” katanya bagi menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Lintang See Chee How semasa Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 pada Selasa.
Menurut beliau, FTES turut dibuka kepada pemegang UEC yang memenuhi syarat kelayakan bagi memastikan rakyat Sarawak mendapat peluang sama rata untuk melanjutkan pengajian tinggi tanpa mengira kaum atau latar belakang persekolahan.
Katanya, pemegang UEC perlu memperoleh sekurang-kurangnya lima gred B dalam peperiksaan UEC peringkat menengah atas serta memenuhi syarat kemasukan kursus yang ditawarkan.
Beliau menjelaskan, kelulusan Bahasa Melayu bukan syarat untuk pemegang UEC memasuki empat universiti berkenaan atau menerima FTES, manakala pelajar yang memohon kursus dalam senarai 64 program di bawah skim itu layak menerima pembiayaan secara automatik jika memenuhi syarat ditetapkan.
Dalam pada itu, beliau berkata pelajar UEC yang menerima FTES turut berpeluang menjalani latihan industri dan penempatan industri seperti pelajar lain sekiranya mendapat penempatan berkenaan.-EDISI UKAS