Laluan Nyelong–Jambatan Merah Dicadang Dinaik Taraf Kepada Empat Lorong
KUCHING: Laluan sepanjang kira-kira 13 kilometer dari Jambatan Nyelong, Sarikei ke Jambatan Merah, Bintangor dicadangkan untuk dinaik taraf kepada empat lorong bagi melancarkan pergerakan trafik di koridor berkenaan.
Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak, Datuk Dr Penguang Manggil berkata, Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak akan bertindak sebagai agensi pelaksana projek tersebut.
“Projek itu turut merangkumi pembinaan dua jambatan baharu di sepanjang laluan berkenaan, termasuk jalan penghubung ke jambatan serta kerja-kerja infrastruktur berkaitan bagi menyokong penaiktarafan koridor tersebut,” ujar beliau.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok, Dato Sri Huang Tiong Sii, dalam Mesyuarat Kedua Penggal Kelima, Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 di sini, pada Selasa.
Menurutnya, anggaran kos projek hanya akan ditentukan selepas JKR Sarawak menyelesaikan reka bentuk terperinci dan pengiraan kos.
Berhubung cadangan menaik taraf dan melebarkan Jambatan Nyelong di Jalan Meranti yang menghubungkan bandar Sarikei dengan laluan ke Sibu dan Tanjung Manis, beliau berkata Majlis Daerah Sarikei (MDS) tidak mempunyai perancangan segera untuk melaksanakan kerja berkenaan.
Katanya, jambatan itu dibina oleh JKR Sarawak sebelum diserahkan kepada MDS pada 2008, manakala jambatan dan kemudahan jalan berkaitan telah didaftarkan di bawah Sistem Maklumat Rekod-Rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS), termasuk Jalan Meranti.
“MDS akan meneruskan kerja-kerja penyelenggaraan secara berterusan, khususnya yang tidak melibatkan pembaikan struktur utama atau kerja-kerja penaiktarafan struktur,” ujarnya lagi. -EDISI UKAS
Disediakan: Jonnie Kiew
Foto: Muhammad Rais Sanusi & Hazrin Sunaini