KUCHING: Kejohanan Borneo Pickleball Antarabangsa Kali Kedua (BPIT) 2026 berjaya menarik penyertaan 576 pemain dari Sarawak, Semenanjung Malaysia, Brunei, Indonesia dan Australia.
Kejohanan anjuran Persatuan Pickleball Kuching (KPA) yang berlangsung di PIKABOL MALAYSIA dari 8 hingga 11 Oktober itu menyaksikan MPA PJ muncul juara acara berpasukan selepas menewaskan pencabar lain dalam pertandingan selama empat hari.
Penyertaan seramai 576 pemain itu mencapai 100 peratus daripada sasaran ditetapkan, manakala acara individu turut merekodkan penyertaan 162 pasangan, melebihi sasaran awal 144 pasangan sebanyak 12.5 peratus.
Kejayaan tersebut memperlihatkan peningkatan sambutan terhadap kejohanan berkenaan sejak edisi sulungnya pada 2024, selain membuka ruang kepada pemain tempatan untuk menguji kemampuan bersama peserta dari dalam dan luar negara.
MPA PJ membawa pulang hadiah wang tunai RM20,000, pingat, trofi serta Piala Cabaran BPIT 2026 selepas menjuarai acara berpasukan yang menyaksikan penyertaan 21 pasukan.
MPA DD menduduki tempat kedua dengan hadiah RM10,000, manakala Triple Blend meraih tempat ketiga dan membawa pulang RM5,000.
Nilai hadiah wang tunai bagi juara acara berpasukan itu meningkat dua kali ganda kepada RM20,000 berbanding RM10,000 pada edisi sulung 2024.
Majlis penutupan dan penyampaian hadiah disempurnakan Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki.
Turut hadir ialah Pengarah Kerja Raya Sarawak, Datu Dr Cassidy Morris; Presiden KPA merangkap Pengerusi Jawatankuasa Penganjur BPIT 2026, Ruslan Bujang dan Pengarah Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), Awang Putrayusrie Awang Redzuan.
Sementara itu, acara individu yang berakhir pada 9 Oktober mempertandingkan enam kategori merangkumi tahap terbuka, pertengahan dan novis.
Kategori berkenaan ialah beregu lelaki terbuka, beregu wanita terbuka, beregu lelaki pertengahan, beregu wanita pertengahan, beregu campuran pertengahan dan beregu campuran novis.-EDISI UKAS