Peruntukan Mencukupi Penting Pastikan Pindaan Perpustakaan Berkesan
KUCHING: Pelaksanaan berkesan Rang Undang-Undang Perpustakaan Negeri Sarawak (Pindaan) 2026 memerlukan peruntukan kewangan mencukupi bagi menyokong pemeliharaan arkib, pembangunan infrastruktur digital dan penyediaan kepakaran profesional.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Murum, Kennedy Chukpai Ugon berkata, sumber mencukupi penting bagi memastikan pindaan berkenaan dapat dilaksanakan dengan berkesan dan memberikan manfaat kepada rakyat.
“Peruntukan yang mencukupi penting bagi menyokong usaha pemeliharaan arkib, pembangunan infrastruktur digital, penyediaan kepakaran profesional serta penglibatan masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19, di sini, pada Selasa.
Katanya, usaha mendokumentasikan sejarah dan tradisi masyarakat, khususnya komuniti pribumi di kawasan pedalaman, perlu diberikan perhatian bagi memastikan warisan berharga itu terus terpelihara untuk generasi akan datang.
Beliau turut menggalakkan kerjasama antara Perpustakaan Negeri Sarawak, organisasi kebudayaan, institusi pendidikan dan pemimpin masyarakat dalam mendokumentasikan warisan berkenaan menggunakan teknologi arkib moden dan digital.-EDISI UKAS
Disediakan oleh: Grace John Lee
Foto: Ibanez Guang