Pindaan RUU Pastikan Rakyat Tidak Kehilangan Manfaat Cuti Umum
KUCHING: Rang Undang-Undang (RUU) Cuti Umum (Pindaan) 2026 merupakan penambahbaikan penting bagi memastikan keadilan kepada pekerja, memberikan kepastian kepada perniagaan serta menjaga kebajikan keluarga di Sarawak.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelagus, Wilson Nyabong berkata, pindaan terhadap RUU ini memastikan rakyat tidak kehilangan manfaat cuti umum hanya kerana dua cuti bertindih.
“Rakyat tidak seharusnya kehilangan manfaat cuti umum hanya kerana dua cuti bertindih dalam kalendar. Pindaan ini menggalakkan keadilan, keseragaman dan kepastian dalam pelaksanaan cuti umum,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa Mesyuarat Kedua Penggal Kelima, Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 pada Selasa.
Menurut beliau, pindaan Seksyen 3 yang dicadangkan menjelaskan keadaan apabila cuti umum jatuh pada hari Ahad, manakala hari Isnin berikutnya sudah merupakan cuti umum yang lain.
Melalui pindaan itu, hari berikutnya akan diperuntukkan sebagai cuti gantian, melainkan ditetapkan sebaliknya oleh Yang di-Pertua Negeri.
Beliau berkata, kepastian berhubung pelaksanaan cuti umum bukan sahaja penting kepada pekerja untuk berehat dan meluangkan masa bersama keluarga, malah membantu majikan merancang operasi serta pengurusan tenaga kerja dengan lebih teratur.
Dalam pada itu, Wilson menekankan kepentingan pindaan tersebut kepada masyarakat luar bandar, khususnya rakyat yang bekerja atau belajar jauh dari kampung halaman dan memerlukan cuti untuk pulang ke kampung serta rumah panjang.
Jelasnya, perjalanan pulang ke kampung bagi sesetengah penduduk di kawasan Pelagus, Kapit memerlukan perjalanan darat yang jauh, pengangkutan sungai serta perbelanjaan yang tinggi, sekali gus memerlukan perancangan awal.
Bagaimanapun, beliau menggesa pihak berkuasa berkaitan menyediakan garis panduan pelaksanaan yang jelas, khususnya berkaitan cuti umum gantian, undang-undang pekerjaan dan aturan kontrak supaya majikan serta pekerja memahami hak dan tanggungjawab masing-masing. - EDISI UKAS