Pindaan Cuti Umum Beri Kepastian Cuti Gantian, Lindungi Hak Pekerja
KUCHING: Pindaan Ordinan Cuti Umum Sarawak dilihat penting bagi memberikan kepastian mengenai kaedah penetapan cuti gantian, sekali gus melindungi kepentingan dan kebajikan pekerja di negeri ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri berkata, ketetapan yang lebih jelas amat diperlukan khususnya apabila sesuatu cuti umum jatuh pada hari Ahad atau bertindih dengan cuti umum yang lain.
Menurut beliau, perkara berkenaan mungkin kelihatan kecil dari sudut pentadbiran, namun mempunyai kesan langsung terhadap pekerja, majikan dan keluarga yang bergantung kepada kepastian tarikh cuti untuk merancang urusan masing-masing.
“Undang-undang yang baik bukan sahaja perlu menetapkan sesuatu peraturan, tetapi mestilah jelas, mudah difahami dan dapat dilaksanakan secara konsisten.
“Dalam konteks ini, pindaan yang dicadangkan penting bagi memastikan mekanisme cuti gantian dapat ditentukan dengan lebih teratur, sekali gus mengurangkan kekeliruan serta perbezaan tafsiran antara pihak yang terlibat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang Cuti Umum (Pindaan) 2026 pada Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19, di sini pada Selasa.
Mengulas lanjut, Mohamad Duri berkata berdasarkan mekanisme yang dicadangkan, sekiranya sesuatu cuti umum jatuh pada hari Ahad, hari Isnin berikutnya akan menjadi cuti gantian.
Jelasnya, sekiranya hari Isnin tersebut turut merupakan cuti umum, hari Selasa pula menjadi hari gantian, melainkan ditentukan sebaliknya oleh Yang di-Pertua Negeri sebagaimana diperuntukkan dalam pindaan berkenaan.
Tambah beliau, ketetapan yang lebih jelas itu bukan sahaja memudahkan rakyat merancang urusan keluarga dan peribadi, malah membantu majikan menyusun jadual kerja serta operasi dengan lebih teratur.
“Bagi pekerja yang terikat dengan jadual kerja tertentu, kepastian mengenai cuti gantian amat bermakna kerana mereka perlu mengetahui lebih awal bilakah hari cuti sebenar supaya urusan keluarga, perjalanan dan komitmen peribadi dapat dirancang dengan baik,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa cuti umum tidak seharusnya dilihat sekadar sebagai tarikh dalam kalendar, sebaliknya turut memberikan ruang kepada rakyat untuk berehat, meluangkan masa bersama keluarga serta menyertai kegiatan sosial dan kemasyarakatan.
Beliau turut mengingatkan bahawa keperluan operasi sektor tertentu tidak seharusnya menyebabkan hak pekerja diabaikan atau peruntukan undang-undang ditafsirkan secara sewenang-wenangnya.
Menurutnya, mekanisme yang jelas akan membantu majikan memahami tanggungjawab masing-masing, manakala pekerja pula dapat mengetahui hak dan kelayakan mereka berdasarkan undang-undang yang berkuat kuasa.
Mohamad turut menyifatkan usaha meminda Ordinan Cuti Umum Sarawak sebagai langkah wajar memandangkan ordinan berkenaan telah berkuat kuasa sejak 16 Disember 1946 dan sudah terlalu lama tidak dipinda.
Beliau berkata, semakan serta penambahbaikan peruntukan berkaitan perlu dilaksanakan bagi memastikan undang-undang berkenaan terus relevan dengan keperluan pentadbiran dan masyarakat masa kini.
Sehubungan itu, beliau menyatakan sokongan terhadap RUU berkenaan diluluskan oleh DUN Sarawak. -EDISI UKAS