DUN Sarawak Luluskan RUU Perpustakaan Negeri Sarawak (Pindaan) 2026
KUCHING: Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak hari ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Perpustakaan Negeri Sarawak (Pindaan) 2026 dengan sokongan sebulat suara ahli dewan pada bacaan kali ketiga.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn berkata, usaha memperkukuh pengurusan rekod kerajaan turut dilaksanakan menerusi sistem digital bagi meningkatkan ketelusan, kebolehkesanan dan akauntabiliti pentadbiran.
Menurut beliau, pelaksanaan Correspondence and Case Tracking Unified System (CACTUS) membolehkan rekod surat-menyurat rasmi diurus secara sistematik, selain memastikan transaksi dan tindakan pegawai mempunyai jejak audit yang lengkap.
“CACTUS meningkatkan ketelusan, kebolehkesanan dan akauntabiliti dengan mengekalkan rekod transaksi serta jejak audit yang lengkap bagi surat-menyurat rasmi dan tindakan yang diambil oleh pegawai,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan RUU Perpustakaan Negeri Sarawak (Pindaan) 2026 pada Mesyuarat Kedua Penggal Kelima, Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 pada Selasa.
Selain pengurusan rekod rasmi, Pustaka Negeri Sarawak turut menyediakan Archival Records Management System (ARMS) bagi membolehkan orang awam dan penyelidik mencari koleksi arkib serta mengurus permohonan akses kepada bahan sejarah mengikut prosedur ditetapkan.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, bangunan baharu Arkib Negeri Sarawak di Petra Jaya yang berkeluasan 25,476 meter persegi disasarkan siap pada November 2026.
Kemudahan itu ujarnya akan memperkukuh penyimpanan dan pemeliharaan rekod penting negeri.-EDISI UKAS