Pindaan Ordinan Cuti Umum Beri Kepastian Kepada Pekerja, Majikan Dan Rakyat
KUCHING: Cadangan pindaan Ordinan Cuti Umum Sarawak menerusi Rang Undang-Undang Cuti Umum (Pindaan) 2026 memberikan kepastian kepada rakyat, khususnya dalam menentukan cuti gantian apabila sesuatu cuti umum jatuh pada hari Ahad atau bertindih dengan cuti umum lain.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Assek, Joseph Chieng Jin Ek berkata pindaan itu penting bagi memastikan pengurusan cuti umum di Sarawak lebih jelas, konsisten dan teratur, sekali gus memudahkan perancangan pekerja, majikan serta agensi kerajaan.
Menurut beliau, di bawah pindaan yang dicadangkan, sekiranya cuti umum jatuh pada hari Ahad, hari Isnin berikutnya akan diisytiharkan sebagai cuti gantian.
Bagaimanapun, jika hari Isnin berkenaan juga merupakan cuti umum, cuti gantian akan dibawa ke hari berikutnya, tertakluk kepada sebarang arahan lain oleh Yang di-Pertua Negeri melalui pemberitahuan dalam Warta Kerajaan.
“Pindaan ini menangani isu praktikal yang berulang serta meningkatkan kejelasan dan keseragaman undang-undang cuti umum Sarawak.
“Mekanisme cuti gantian yang lebih jelas akan mengurangkan ketidakpastian dan memberikan kemudahan perancangan kepada pekerja, keluarga, perniagaan, sekolah serta agensi kerajaan,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 pada Selasa.
Dalam pada itu, beliau turut merujuk situasi pada tahun ini apabila Hari Wesak jatuh pada hari Ahad, manakala Isnin dan Selasa berikutnya merupakan cuti umum sempena Hari Gawai Dayak serta Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong.
Katanya, keadaan itu membuktikan keperluan mewujudkan mekanisme perundangan yang lebih sistematik bagi mengelakkan kekeliruan berhubung penetapan cuti gantian.
Dalam masa sama, beliau menjelaskan bahawa pindaan berkenaan turut memberi manfaat kepada sektor perniagaan melalui penyelarasan jadual pekerja, waktu operasi, penghantaran barangan dan pengeluaran tanpa memerlukan perubahan pada saat akhir.
Selain itu, sekolah, jabatan kerajaan dan agensi awam juga dapat menyelaraskan takwim serta urusan pentadbiran dengan lebih berkesan.
Beliau turut menyambut baik cadangan pindaan tersebut yang tidak melibatkan perbelanjaan tambahan kerajaan, namun berharap garis panduan pelaksanaan yang jelas dapat disediakan kepada semua pihak berkaitan.-EDISI UKAS