Pindaan Perpustakaan Negeri Perkukuh Pengurusan Ilmu Dan Warisan
KUCHING: Pindaan Ordinan Perpustakaan Negeri Sarawak menerusi Rang Undang-Undang Perpustakaan Negeri Sarawak (Pindaan) 2026 bakal memperkukuh pengurusan rekod dan arkib sejarah, selain memperkemas tadbir urus institusi perpustakaan negeri.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro, Dr Safiee Ahmad, berkata pindaan itu bukan sekadar pembaharuan teknikal, sebaliknya mencerminkan komitmen Sarawak memastikan institusi ilmu dan warisan negeri terus relevan, moden serta berdaya tahan dalam menghadapi cabaran era digital.
“Pindaan ini bukan sekadar pembaharuan teknikal, sebaliknya mencerminkan komitmen Sarawak memastikan institusi ilmu dan warisan negeri terus relevan, moden serta berdaya tahan dalam menghadapi cabaran era digital,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perpustakaan Negeri Sarawak (Pindaan) 2026 pada Mesyuarat Kedua Penggal Kelima, Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-19 pada Selasa.
Menurutnya, pindaan tersebut antara lain menyelaras kuasa antara Kabinet Negeri, Menteri yang bertanggungjawab dan Lembaga Perpustakaan Negeri bagi mengurangkan birokrasi serta memperkemas proses membuat keputusan.
Katanya, pendekatan itu turut menyokong pembangunan literasi digital dan komuniti luar bandar, termasuk usaha membangunkan Perpustakaan, Pusat Digital dan Inovasi di Daro.
Dalam pada itu, beliau berkata pengenalan ‘arkib peringatan’ akan memperkukuh pengurusan sejarah dan warisan Sarawak melalui pemeliharaan rekod berkaitan warisan, tokoh tempatan, peristiwa bersejarah serta sejarah pembangunan negeri dan DUN secara sistematik.
Dr Safiee turut berkata peruntukan yang memberikan kuasa kepada Kabinet Negeri untuk meminda Jadual menerusi pemberitahuan dalam Warta Kerajaan Negeri akan menyediakan kerangka perundangan yang lebih fleksibel bagi menyesuaikan pengurusan perpustakaan dengan perkembangan teknologi dan keperluan pentadbiran semasa.
Beliau berkata pindaan berkaitan pemilikan harta kerajaan pula memberikan kejelasan dari segi hak milik, akauntabiliti kewangan serta perlindungan aset dan infrastruktur Perpustakaan Negeri Sarawak.
Jelasnya, pindaan itu akan memastikan Perpustakaan Negeri Sarawak terus berkembang sebagai pusat kecemerlangan ilmu yang memberi manfaat kepada masyarakat di seluruh negeri, termasuk kawasan luar bandar.-EDISI UKAS