Percepat Naik Taraf Jalan Bekas Pembalakan Ulu Baram
MIRI: Kerja membaik pulih dan menaik taraf jalan bekas pembalakan di Ulu Baram perlu dipercepat bagi memastikan masyarakat pedalaman mendapat akses lebih baik kepada kemudahan asas serta perkhidmatan kerajaan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan, Dato Dennis Ngau berkata, Belanjawan Sarawak 2027 diharap memberi keutamaan kepada usaha menaik taraf rangkaian jalan berkenaan yang dianggarkan sepanjang 2,000 kilometer di seluruh Ulu Baram.
Menurut beliau, jalan berkenaan memainkan peranan penting dalam menghubungkan rumah panjang dengan sekolah, kemudahan kesihatan dan pasar, sekali gus memudahkan urusan harian penduduk pedalaman.
“Jalan-jalan ini bukan sekadar infrastruktur, tetapi ‘talian hayat’ masyarakat luar bandar,” katanya ketika dihubungi Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), pada Selasa.
Ujarnya lagi, bagi kawasan DUN Telang Usan, kurang 300 kilometer daripada kira-kira 1,000 kilometer jalan bekas pembalakan telah dibaik pulih menerusi inisiatif Agensi Pembangunan Tanah Tinggi (HDA).
Sehubungan itu, beliau berharap peruntukan pembangunan luar bandar dalam Belanjawan Sarawak 2027 dapat dimanfaatkan bagi meneruskan kerja pembaikan dan menaik taraf jalan berkenaan secara berperingkat. - EDISI UKAS