Usahawan Wanita Pemacu Pertumbuhan Ekonomi Inklusif Sarawak
KUCHING: Usahawan wanita Sarawak perlu terus diperkasa bagi memperluas penyertaan mereka dalam pembangunan ekonomi, termasuk akses kepada pembiayaan, peningkatan kemahiran dan peluang mengembangkan perniagaan.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, sokongan terhadap usahawan wanita bukan sahaja membantu meningkatkan pendapatan keluarga, malah membuka peluang kepada mereka untuk mengembangkan perniagaan dan mencapai kemandirian ekonomi.
“Pada pengumuman Yang Amat Berhormat Premier, ada RM25 juta yang diperuntukkan untuk usahawan wanita. Kami sangat gembira dan berterima kasih kepada Yang Amat Berhormat kerana mengambil perhatian terhadap golongan ini” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Forum Antarabangsa NAWEM mengenai Pertumbuhan Inklusif 2027, di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Selasa.
Menurutnya, golongan wanita daripada kategori B40 turut diberi sokongan melalui latihan kemahiran yang membolehkan mereka menjana pendapatan, selain geran kerajaan untuk membantu memulakan perniagaan.
Ujar beliau lagi, peluang berkenaan penting khususnya bagi ketua isi rumah wanita yang perlu menanggung keluarga, selain yang berusaha meningkatkan taraf ekonomi melalui perusahaan sendiri.
Sehubungan itu, beliau berharap usahawan wanita tempatan memanfaatkan Forum Antarabangsa NAWEM untuk memperluas rangkaian perniagaan, menimba pengetahuan serta meneroka peluang pasaran menerusi perkongsian dengan pemain industri dari dalam dan luar negara.
Forum anjuran Persatuan Usahawan Wanita Malaysia (NAWEM) bersama Tanoti Sdn. Bhd. itu dijadual berlangsung pada 27 hingga 29 Januari 2027 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) dengan sasaran penyertaan kira-kira 1,000 delegasi dari Malaysia dan luar negara.
Turut hadir, Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Tanoti Sdn. Bhd. merangkap Pengerusi Penganjur Forum Antarabangsa NAWEM mengenai Pertumbuhan Inklusif 2027, Dato’ Jacqueline Fong, Pengerusi NAWEM Sarawak, Dr. Dianne Tsen Shoon Cheen, Ketua Pegawai Eksekutif Business Events Sarawak (BESarawak), Jason Tan serta Pengarah Jualan dan Pemasaran BCCK, Eric Chuo yang mewakili Ketua Pegawai Operasinya, David Bareng. - EDISI UKAS