Sarawak Warta Tanah Penanaman Padi Elak Ditukar Kepada Tanaman Lain
KUCHING: Sarawak memperkukuh keselamatan makanan negeri menerusi pewartaan tanah khusus untuk penanaman padi bagi menghalang kawasan berkenaan ditukar kepada tanaman lain, sekali gus memastikan kapasiti pengeluaran beras tempatan dapat ditingkatkan secara berterusan.
Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom berkata, langkah itu telah dilaksanakan di beberapa kawasan di Limbang dan Lawas, dengan lebih banyak tanah berpotensi diwartakan bagi menjamin kelangsungan pembangunan industri padi negeri.
“Itulah sebabnya kita mengambil langkah serius sehingga kerajaan menggubal ordinan atau undang-undang bagi mewartakan tanah yang dikhususkan untuk penanaman padi, supaya tiada tanaman lain dibenarkan di kawasan tersebut,” ujar beliau.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Pajakan Kecil antara LCDA Agri Business dan Onemas Agriculture, di sini pada Selasa.
Untuk rekod, Sarawak menyasarkan pengeluaran kira-kira 450,000 tan metrik beras setahun berdasarkan anggaran permintaan semasa bagi memenuhi keperluan pengguna di negeri ini.
Dalam perkembangan berkaitan, Dato Sri Dr Stephen Rundi memberitahu, usaha meningkatkan pengeluaran padi juga perlu disokong pembangunan industri hiliran bagi menambah nilai hasil pertanian tempatan.
Antara potensi yang boleh diteroka termasuk penghasilan mihun, biskut, kek dan pelbagai produk berasaskan beras yang mampu memperluas peluang ekonomi dalam rantaian industri padi. -EDISI UKAS