237 Pesawah Lawas Didedahkan Penggunaan Dron Dalam Kerja Pengapuran Sawah
LAWAS: Seramai 237 pesawah menyertai program demonstrasi penggunaan dron pertanian bagi kerja pengapuran sawah padi sebagai usaha memperkenalkan teknologi moden yang berpotensi meningkatkan kecekapan pengurusan tanaman padi.
Program Pelaksanaan Kerja-Kerja Pengapuran Sawah Padi Menggunakan Dron Pertanian itu dilaksanakan di Kampung Lintang Baru, Trusan pada Rabu dengan kerjasama Pejabat Pertanian Daerah Lawas, Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK), NAFAS Sarawak dan Ariel Tech and Defence System Academy Sdn. Bhd.
Menerusi demonstrasi tersebut, pesawah berpeluang melihat sendiri penggunaan dron dalam aplikasi bahan pengapuran di kawasan sawah, sekali gus memahami potensi teknologi berkenaan sebagai alternatif kepada kaedah kerja secara manual.
Pendedahan itu juga penting bagi meningkatkan pengetahuan pesawah terhadap perkembangan teknologi pertanian, selain membuka ruang kepada penggunaan kaedah lebih sistematik dalam pengurusan tanaman padi.
Inisiatif itu diharap dapat menggalakkan penerimaan teknologi pertanian pintar dalam kalangan pesawah, sekali gus menyokong usaha meningkatkan produktiviti dan daya saing sektor padi di Daerah Lawas.
Turut hadir, Pegawai Pertanian Ibu Pejabat Bahagian Peladang, Karen Lenggiau Augustine, Penolong Pengurus NAFAS Sarawak, Mohammad Gadafi Mas, Ketua Pegawai Operasi Ariel Tech and Defence System Academy Sdn. Bhd., Jeremy Joseph Undikai, Penguasa Pertanian Daerah Lawas, Doraup Mail serta Pengurus Besar Pertubuhan Peladang Kawasan Daerah Lawas, Dison Tagal.-EDISI UKAS