RUU Perpustakaan Negeri Sarawak (Pindaan) Perkukuh Pemeliharaan Warisan Sejarah
KUCHING: Pengenalan konsep Arkib Peringatan (Memorial Archives) dalam Rang Undang-Undang (RUU) Perpustakaan Negeri Sarawak (Pindaan), 2026 memberikan pengiktirafan lebih jelas terhadap peranan arkib dalam menyimpan, memelihara dan mempamerkan bahan sejarah berkaitan peristiwa, tokoh serta aspek penting sejarah negeri.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebedu, Dr Simon Sinang Bada berkata, perkara itu amat signifikan kerana Sarawak merupakan sebuah negeri yang kaya dengan sejarah, kepelbagaian etnik, adat resam, bahasa dan warisan budaya.
“Setiap masyarakat mempunyai sejarah perjuangan, pencapaian, identiti dan nilai kehidupan yang wajar dipelihara. Sekiranya sejarah ini tidak didokumentasikan dengan baik, kita mungkin kehilangan sebahagian daripada identiti dan khazanah warisan negeri yang tidak ternilai,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Perpustakaan Negeri Sarawak (Pindaan), 2026 semasa Mesyuarat Kedua Penggal Kelima, Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak pada Selasa.
Dr Simon turut mencadangkan agar Perpustakaan Negeri Sarawak bekerjasama dengan persatuan kebudayaan, institusi pendidikan dan komuniti setempat bagi memperluas pendokumentasian sejarah, bahasa, adat resam serta warisan masyarakat luar bandar termasuk komuniti Bidayuh.
Selain itu, beliau mencadangkan peluasan perkhidmatan perpustakaan digital, perpustakaan bergerak dan program galakan membaca ke kawasan pedalaman serta luar bandar bagi memastikan akses kepada ilmu pengetahuan lebih menyeluruh.
Katanya, usaha pendigitalan dokumen lama, gambar bersejarah, manuskrip dan rekod komuniti juga perlu diperkukuh supaya bahan berkenaan dapat dipelihara secara sistematik, dengan mengambil kira keselamatan data serta sensitiviti adat dan hak masyarakat terhadap warisan mereka.-EDISI UKAS