Arkib Memorial Perkukuh Pemeliharaan Sejarah Sarawak
KUCHING: Pindaan Ordinan Perpustakaan Negeri Sarawak menerusi Rang Undang-Undang Perpustakaan Negeri Sarawak (Pindaan) 2026 bakal memperkukuh usaha mendokumentasi, memelihara dan memudahkan akses kepada sejarah serta warisan Sarawak untuk generasi akan datang.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balingian, Abdul Yakub Arbi, berkata pindaan itu penting kerana memberi kuasa kepada Perpustakaan Negeri Sarawak untuk menubuhkan, mengurus dan menyelenggara arkib memorial bagi memelihara bahan sejarah berkaitan sesuatu peristiwa, tokoh atau aspek sejarah negeri.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perpustakaan Negeri Sarawak (Pindaan) 2026 pada Mesyuarat Kedua Penggal Kelima, Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-19 pada Selasa.
Menurutnya, perpustakaan pada masa kini tidak lagi sekadar menjadi tempat penyimpanan dan pinjaman buku, sebaliknya memainkan peranan penting sebagai penjaga warisan intelektual dan memori sejarah negeri.
Katanya, Sarawak mempunyai khazanah sejarah yang luas termasuk sejarah pembentukan dan pembangunan negeri, sumbangan pemimpin terdahulu, perkembangan pentadbiran awam serta budaya dan tradisi pelbagai kaum yang perlu didokumentasikan secara sistematik.
“Jika bahan-bahan ini tidak dikumpul, dipelihara dan didokumentasikan secara sistematik, kita berisiko kehilangan sebahagian daripada sejarah kita sendiri,” katanya.
Menurutnya, arkib memorial tidak seharusnya hanya menjadi ruang penyimpanan dokumen lama, sebaliknya perlu dibangunkan sebagai pusat pendidikan sejarah dan warisan yang mampu menarik pelajar, penyelidik serta masyarakat umum.
Beliau berkata usaha pendokumentasian juga perlu diperluaskan ke seluruh bahagian dan daerah Sarawak supaya sejarah masyarakat setempat turut dipelihara, termasuk bahan yang kini berada dalam simpanan keluarga, komuniti kampung, persatuan, institusi tempatan dan individu.
Antara bahan yang boleh dikumpul termasuk gambar lama, surat-menyurat, peta, rakaman, manuskrip dan rekod peribadi berkaitan tokoh serta perkembangan sesebuah komuniti.
Dalam pada itu, beliau berkata pindaan tersebut turut memperkemas struktur kuasa dan tadbir urus Perpustakaan Negeri Sarawak dengan memperjelas tanggungjawab Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Menteri, Lembaga, Perpustakaan Negeri dan Kerajaan.
Katanya, struktur pentadbiran yang lebih jelas dapat membantu memastikan proses membuat keputusan dilaksanakan secara lebih teratur dan cekap, selain memperkukuh akauntabiliti institusi berkenaan.
Pindaan itu juga penting dalam memastikan generasi muda mempunyai akses kepada sumber sejarah yang sahih dan boleh dipercayai, khususnya dalam era lambakan maklumat digital yang pantas tetapi tidak semestinya tepat.
Beliau berkata pemeliharaan sejarah perlu dilihat sebagai sebahagian daripada pembangunan negeri kerana kehilangan rekod sejarah boleh menyebabkan generasi akan datang hanya mengenali Sarawak melalui sumber yang terpisah dan tidak lengkap. - EDISI UKAS