KUCHING: Penggunaan kecerdasan buatan (AI) perlu diteroka bagi membangunkan arkib digital bahasa peribumi (Indigenous Language) dan warisan lisan untuk memelihara bahasa, cerita tradisional serta identiti masyarakat pelbagai etnik di Sarawak.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu, Johnny Pang Leong Ming berkata, inisiatif itu boleh dilaksanakan melalui kerjasama dengan pemimpin masyarakat, kumpulan kebudayaan, universiti dan pakar teknologi bagi merakam serta mendokumentasikan bahasa ibunda, lagu tradisional, puisi dan cerita masyarakat peribumi.
“Memelihara sesuatu bahasa dalam arkib mungkin dapat mengelakkannya daripada dilupakan. Namun, mengajar generasi akan datang untuk bertutur dalam bahasa tersebutlah yang akan memastikan kelangsungannya.
“Saya percaya ini merupakan satu bidang yang wajar diterokai selaras dengan usaha kita memperluas peranan Perpustakaan Negeri Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Perpustakaan Negeri Sarawak (Pindaan), 2026 semasa Mesyuarat Kedua Penggal Kelima, Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak pada Selasa.
Menurut beliau, rakaman suara penutur asal boleh dimanfaatkan dengan bantuan AI untuk membangunkan program pembelajaran yang membantu generasi muda mempelajari sebutan, berlatih perbualan dan memahami maksud ungkapan tradisional dalam bahasa ibunda masing-masing.
Beliau berkata, usaha itu penting memandangkan sesetengah bahasa dan tradisi masyarakat peribumi semakin terancam apabila generasi muda kurang menggunakan bahasa ibunda, manakala pengetahuan berharga yang diwarisi secara lisan berisiko hilang apabila golongan tua meninggal dunia.
Dalam pada itu, beliau menyokong pengenalan peruntukan berkaitan Arkib Peringatan (Memorial Archives) menerusi pindaan berkenaan bagi memperkukuh peranan Pustaka Negeri Sarawak dalam memelihara rekod sejarah, termasuk sumbangan masyarakat biasa dan pelbagai kumpulan etnik yang turut membentuk sejarah negeri.
Beliau turut mencadangkan penambahbaikan kemudahan perpustakaan di Bintulu, termasuk ruang belajar, kemudahan pembelajaran digital dan program membaca, selain memperluas usaha pendokumentasian sejarah tempatan.
Menurutnya, pelaksanaan inisiatif pemeliharaan warisan itu perlu dirancang secara berperingkat dengan mengambil kira penggunaan dana awam yang berhemah, keperluan tenaga kerja terlatih, kemudahan penyimpanan serta teknologi yang bersesuaian.-EDISI UKAS