Pindaan Ordinan Cuti Umum perkukuh kepastian cuti pekerja, keluarga luar bandar
KUCHING: Kepastian pelaksanaan cuti gantian menerusi Rang Undang-Undang (RUU) Cuti Umum (Pindaan) 2026 penting bagi membantu pekerja merancang waktu bekerja dan urusan keluarga, khususnya masyarakat luar bandar yang perlu menempuh perjalanan jauh untuk pulang ke rumah panjang.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ngemah, Anyi Jana berkata, peruntukan yang lebih jelas dapat mengelakkan kekeliruan apabila cuti umum jatuh pada hari rehat atau bertindih dengan cuti umum lain.
Menurut beliau, kepastian itu amat penting kepada pekerja bergaji harian, pekerja kilang dan ladang serta mereka yang tinggal jauh dari kampung halaman untuk merancang perjalanan dan masa bersama keluarga.
“Bagi masyarakat di kawasan Batang Rajang dan kawasan luar bandar yang lain, perjalanan pulang ke rumah panjang bukan semudah perjalanan dari satu kawasan bandar ke kawasan bandar yang lain,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika semasa Mesyuarat Kedua Penggal Kelima, Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19, di sini, pada Selasa.
Jelasnya, kepulangan ahli keluarga sempena cuti umum yang panjang turut memberi manfaat kepada ekonomi setempat apabila perbelanjaan mereka menyokong perniagaan kedai runcit, peniaga kecil dan pengusaha makanan di kawasan luar bandar.
Anyi turut menyokong cadangan menyusun semula jadual cuti umum dan memperkemas mekanisme pindaan jadual melalui pemberitahuan dalam Warta Kerajaan bagi memudahkan pengurusan serta rujukan.
Bagaimanapun, beliau menegaskan pelaksanaan pindaan itu perlu disertai penyampaian maklumat yang jelas kepada majikan, pekerja dan masyarakat supaya peruntukan yang ditetapkan dapat difahami serta dimanfaatkan oleh rakyat.- EDISI UKAS