Pemarkahan UP-DLPS Akan Dilaksanakan Dalam Talian Buat Pertama Kali Tahun Ini
KUCHING: Pemarkahan bagi Ujian Penilaian Dual Language Programme Sarawak (UP-DLPS 6) akan dilaksanakan secara dalam talian buat pertama kali tahun ini.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn berkata, pendekatan pemarkahan digital baharu itu bertujuan menjadikan proses pemarkahan lebih telus dan cekap.
Menurutnya, murid Tahun Enam di seluruh Sarawak bakal menduduki penilaian itu pada 14 dan 15 Oktober ini yang meliputi mata pelajaran Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik dengan keputusan rasmi dijadualkan diumumkan pada 23 November.
"Sistem dalam talian itu turut membolehkan analisis keputusan penilaian dilakukan secara terperinci dan mengikut keperluan, sekali gus memberikan gambaran lebih jelas mengenai prestasi murid serta membantu mengenal pasti aspek yang memerlukan penambahbaikan," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Dengan waktu peperiksaan yang semakin hampir, Dato Sri Roland menggalakkan murid supaya menghadapi peperiksaan dengan penuh keyakinan, mendapatkan rehat yang mencukupi, mengurus masa dengan bijak serta membaca setiap soalan dengan teliti.
Beliau juga mahu pelajar untuk terus pecaya kepada diri sendiri dan memberikan yang terbaik kerana penilaian UP-DLPS merupakan peluang untuk menunjukkan apa yang telah dipelajari serta mengenal pasti aspek yang boleh terus ditambah baik
Selain itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada guru, pemimpin sekolah dan ibu bapa atas komitmen mereka dalam membuat persiapan bagi menghadapi penilaian itu, selain menggesa agar kerjasama berterusan diperkukuh bagi membina asas yang kukuh dalam mata pelajaran Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik.
Inisiatif UP-DLPS merupakan sebahagian daripada usaha berterusan Kerajaan Sarawak untuk meningkatkan hasil pembelajaran, melengkapi piawaian pendidikan kebangsaan serta menyokong aspirasi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030). -EDISI UKAS