Senator Michael Mujah Lihan Dipilih Semula Sebagai Ahli Dewan Negara Bagi Penggal Kedua
KUCHING: Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak hari ini sebulat suara memilih Senator Michael Mujah Lihan untuk menyambung khidmat sebagai Ahli Dewan Negara bagi penggal kedua.
Usul pencalonan itu dikemukakan oleh Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, dan disokong oleh Menteri di Jabatan Premier Sarawak, Dato Sri John Sikie Tayai.
“Saya mencadangkan supaya Yang Berhormat Senator Michael Mujah Lihan dipilih semula sebagai Ahli Dewan Negara bagi penggal kedua.
“Sepanjang penggal pertama beliau sebagai Ahli Dewan Negara, beliau telah memperoleh pengalaman dalam urusan Parlimen dan tanggungjawab sebagai wakil Sarawak di peringkat Persekutuan.
“Pengalaman ini merupakan satu asas yang boleh dimanfaatkan untuk meneruskan khidmat beliau dalam membawa perhatian kepada isu-isu berkaitan dengan pembangunan dan kepentingan rakyat Sarawak,” katanya.
Pemilihan semula itu diumumkan oleh Speaker DUN Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, selepas usul berkenaan dipersetujui sebulat suara.
Anak kelahiran Belaga itu pertama kali dilantik sebagai Ahli Dewan Negara pada 11 Disember 2023, dengan penggal perkhidmatannya dijadualkan berakhir pada Disember ini.
Beliau merupakan graduan Diploma Pentadbiran Awam dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kota Kinabalu, Sabah, dan telah berkhidmat sebagai Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, sejak 2016.-EDISI UKAS
Disediakan oleh: Grace John Lee
Foto: Ibanez Guang