Belanjawan Sarawak 2027 Perkukuh Pendidikan Awal Kanak-Kanak, Kebajikan Rakyat
KUCHING: Peruntukan bagi pendidikan awal kanak-kanak dan bantuan kebajikan dalam Belanjawan Sarawak 2027 mencerminkan usaha kerajaan negeri memperkukuh pembangunan modal insan serta memastikan kebajikan rakyat terus diberi perhatian.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, pendidikan awal kanak-kanak merupakan asas penting dalam membentuk modal insan berkualiti.
Menurut beliau, antara inisiatif yang disediakan termasuk subsidi yuran taska dan tadika serta geran tahunan khas kepada taska dan tadika berdaftar bagi menyokong pendidikan awal kanak-kanak.
“Early childhood education is very important. Sebab ianya merupakan asas, pembangun asas untuk quality human capital kita.”
Beliau berkata demikian ketika ditemui media di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini, pada Selasa.
Dalam pada itu tambahnya, aspek kebajikan sosial dan jaringan keselamatan turut diberi perhatian menerusi pendekatan ‘from cradle to grave’ bagi memastikan keperluan masyarakat daripada pelbagai peringkat umur diambil kira dan tiada golongan yang terpinggir.
Mengulas dakwaan bahawa Belanjawan Sarawak 2027 merupakan belanjawan pilihan raya, Dato Sri Fatimah berkata, usaha pembangunan yang dilaksanakan kerajaan negeri bukan hanya bermula menjelang pilihan raya, sebaliknya telah dilaksanakan sejak penggal lalu. -Edisi Ukas
Disediakan oleh: Nur Marisa
Foto: Ibanez Jeffery Guang