RUU Cuti Umum (Pindaan) 2026 Diluluskan, Peruntuk Mekanisme Cuti Gantian Secara Automatik
KUCHING: Rang Undang-Undang (RUU) Cuti Umum (Pindaan) 2026 diluluskan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak selepas mendapat sokongan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pada bacaan ketiga hari ini.
RUU tersebut dibentangkan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan), Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali dan dibahaskan oleh lapan ADUN.
Datuk Sharifah Hasidah berkata, pindaan tersebut akan memperuntukkan mekanisme cuti gantian secara automatik sekiranya berlaku pertindihan cuti umum, sekali gus memberikan kepastian kepada orang awam serta meningkatkan kecekapan pentadbiran.
“Dengan adanya mekanisme ini, tidak lagi diperlukan pemberitahuan berasingan dalam Warta Kerajaan setiap kali berlaku pertindihan cuti umum,” katanya semasa menggulung perbahasan RUU berkenaan pada Mesyuarat Kedua Penggal Kelima, Persidangan DUN Sarawak Ke-19 di sini, pada Selasa.
Jelasnya, sebelum ini setiap pertindihan cuti umum memerlukan notifikasi berasingan melalui Warta Kerajaan bagi menetapkan cuti gantian, yang boleh menyebabkan kelewatan serta memberi kesan kepada sektor awam dan swasta.
Mekanisme baharu itu katanya turut membolehkan keluarga dan masyarakat merancang cuti lebih awal tanpa perlu menunggu pengesahan melalui pewartaan.
Sebagai tambah katanya, pindaan tersebut turut mengekalkan kuasa Yang di-Pertua Negeri untuk menentukan sebaliknya melalui pemberitahuan dalam Warta Kerajaan sekiranya keadaan memerlukan.
Selain itu, ia pada asasnya bertujuan menyediakan peruntukan undang-undang yang lebih jelas dan praktikal dalam pengurusan cuti umum di Sarawak.-EDISI UKAS