SMD Bakal Jalin Persefahaman Dengan Syarikat China, Guna Reka Bentuk Cip Sarawak Dalam Meter Elektrik
KUCHING: SMD Semiconductor dijangka menjalin persefahaman dengan sebuah syarikat dari China bagi menggunakan reka bentuk cip semikonduktor Sarawak dalam penghasilan meter elektrik.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, perkembangan itu menunjukkan potensi reka bentuk cip yang dibangunkan di Sarawak untuk menembusi pasaran antarabangsa.
“Saya berharap mereka mempunyai persefahaman dengan sebuah syarikat dari China untuk menggunakan reka bentuk cip kita dalam meter elektrik.
“Itu satu perkembangan yang baik kerana pihak luar negara sudah membeli reka bentuk cip kita,” katanya ketika berucap dalam Majlis Makan Malam Penghargaan dan Anugerah Swinburne Sarawak 2026 di sebuah hotel terkemuka di sini, pada Selasa.
Selain itu, Datuk Patinggi Abang Zohari memberitahu, Sarawak kini juga sedang meneroka bidang reka bentuk semikonduktor seperti yang dilakukan oleh Nvidia.
Menurutnya, Nvidia menjalankan reka bentuk semikonduktor dan cipnya sendiri, manakala pengeluarannya dilakukan oleh Taiwan Semiconductor Manufacturing Company (TSMC) di Taiwan.
Ujarnya, Sarawak berpotensi mereka bentuk cip yang dihasilkan melalui kemudahan X-FAB di Samajaya, sekali gus membuka ruang kepada Sarawak untuk memperkukuh penglibatan dalam industri semikonduktor.
Bagaimanapun katanya, pembangunan bidang tersebut memerlukan tenaga kerja berkemahiran, khususnya jurutera yang mempunyai kepakaran dalam reka bentuk cip dan teknologi berkaitan. -EDISI UKAS
Disediakan Oleh: Ahmad Daniel Faiz
Gambar: Jaed Tepus