Projek Naik Taraf Jalan Bukit Sagan–Nanga Merit–Ulu Lubai Capai Kemajuan 37.24 Peratus
KUCHING: Projek menaik taraf Jalan Bukit Sagan–Nanga Merit–Ulu Lubai di Batu Danau, Limbang bernilai RM44.55 juta mencatatkan kemajuan fizikal sebanyak 37.24 peratus setakat 25 September 2026.
Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak, Datuk Ir Aidel Lariwoo berkata, kerja pembersihan tapak telah siap sepenuhnya, manakala kerja tanah kini hampir selesai.
Menurut beliau, kerja pembinaan sistem perparitan dan pembetung masih dilaksanakan, sementara kerja cerucuk bagi keempat-empat jambatan yang terlibat sedang dijalankan.
“Setakat 25 September 2026, projek menaik taraf Jalan Bukit Sagan–Nanga Merit–Ulu Lubai mencatatkan kemajuan fizikal sebanyak 37.24 peratus.
“Kerja-kerja pembersihan tapak telah siap, manakala kerja-kerja tanah hampir selesai dan kerja-kerja berkaitan perparitan, pembetung serta pembinaan jambatan masih dilaksanakan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Danau, Dato Paulus Gumbang dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19, di sini pada Rabu.
Projek yang dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak itu melibatkan peruntukan sebanyak RM44,548,676.50 di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) menerusi Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).
Projek yang bermula pada 13 Jun 2025 itu dijadualkan siap sepenuhnya pada 12 Jun 2027.
Skop pelaksanaannya merangkumi kerja pembersihan tapak, kerja tanah, pembinaan sistem perparitan, pemasangan 26 pembetung polietilena berketumpatan tinggi (HDPE) serta pembinaan empat jambatan konkrit bertetulang baharu.
Selain itu, projek berkenaan turut melibatkan kerja menaik taraf jalan batu sepanjang 13.6 kilometer kepada jalan berturap mengikut piawaian JKR R1 dengan lebar enam meter, termasuk pemasangan kelengkapan jalan dan penandaan turapan.
Apabila siap kelak, projek itu dijangka meningkatkan kesalinghubungan penduduk Ulu Lubai dengan tiga sekolah, empat rumah panjang, sebuah klinik di sepanjang jajaran berkenaan serta bandar Limbang.
Naik taraf jalan tersebut juga bakal menyediakan kemudahan perjalanan yang lebih selamat dan selesa, sekali gus memudahkan pergerakan penduduk serta aktiviti harian mereka.
Dalam pada itu, kerja penambakan tanah bagi meningkatkan aras jalan dijangka membantu mengurangkan risiko banjir yang sebelum ini sering menjejaskan laluan berkenaan.-EDISI UKAS