LUNDU: Seramai 76 warga pendidikan daerah Lundu menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Tahun 2025 sebagai pengiktirafan terhadap dedikasi dan komitmen mereka dalam memperkasa sektor pendidikan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Opar, Billy Sujang berkata, warga pendidik memainkan peranan penting sebagai agen perubahan dalam membentuk modal insan berkualiti, khususnya bagi memastikan anak-anak Sarawak di kawasan luar bandar tidak tercicir daripada arus pembangunan pendidikan dan kemajuan teknologi.
Menurutnya, kecemerlangan pendidikan bukan sekadar diukur melalui pencapaian akademik, malah turut bergantung kepada keupayaan melahirkan generasi berilmu, berkemahiran, berintegriti dan berdaya saing.
“Guru bukan hanya mendidik untuk peperiksaan, tetapi membimbing untuk kehidupan. Guru bukan hanya membina kecemerlangan akademik, tetapi turut membentuk karakter, nilai moral, disiplin dan rasa tanggungjawab dalam diri anak-anak bangsa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Lundu Tahun 2025 di Dewan Masyarakat Lundu, di sini, pada Selasa.
Pada majlis itu, seramai 37 pesara dan bakal pesara perkhidmatan pendidikan daerah Lundu turut diraikan sebagai penghargaan atas jasa dan pengorbanan mereka, dengan 26 daripadanya hadir menerima penghargaan.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau mengumumkan peruntukan keseluruhan berjumlah RM40,000 kepada empat institusi pendidikan di daerah Lundu bagi menyokong usaha memperkukuh pembangunan pendidikan setempat.
Peruntukan sebanyak RM10,000 setiap satu disalurkan kepada PPD Lundu, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Senibong, SMK Lundu dan SMK Sematan. -EDISI UKAS