Pasar Basah Kota Padawan Bernilai RM15 Juta Bakal Dibina
KUCHING: Projek Pasar Basah Kota Padawan yang menempatkan 300 gerai bakal menjadi kemudahan baharu untuk penduduk Batu Kawa dan kawasan sekitarnya, dengan kos pembangunan dianggarkan RM15 juta dengan sasaran siap dalam tempoh 18 bulan.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Prof Dr Sim Kui Hian berkata, projek yang dibangunkan dan dibiayai sepenuhnya oleh Lee Onn Group itu bukan sahaja bertujuan menyediakan pasar basah moden, malah mengekalkan gaya hidup, nilai tradisi dan warisan komuniti setempat.
“Projek itu melibatkan kawasan seluas 3.43 ekar, bersamaan kira-kira 34 unit rumah kedai dengan kemudahan yang disediakan merangkumi keseluruhan 300 gerai, termasuk 270 gerai pasar, 18 gerai medan selera, 12 kedai berkunci serta sebuah pusat pengumpulan mini.
“Pasar basah itu turut berfungsi sebagai pusat pengumpulan bagi membantu petani tempatan dari kawasan Matang dan Batu Kawa mengumpul, memasarkan serta memproses hasil pertanian berlebihan seperti sayur-sayuran dan buah-buahan bagi menyokong pengeluaran agro,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Pecah Tanah projek berkenaan di Pines Square, Batu Kawa, di sini, pada Selasa.
Menurutnya, pembangunan pasar basah itu bukan sahaja bertujuan memodenkan kemudahan setempat, malah mengekalkan gaya hidup, nilai tradisional dan warisan masyarakat tempatan.
Tambahnya, pasar basah kekal sebagai kemudahan penting dalam kehidupan masyarakat, bukan sahaja untuk urusan jual beli, malah sebagai ruang pertemuan dan interaksi penduduk setempat.
Dalam pada itu, Datuk Amar Dr Sim memberitahu, tanah bersebelahan pasar basah itu turut diperuntukkan bagi pembinaan balai bomba dan balai polis, dengan pembiayaan Kerajaan Persekutuan diperlukan untuk merealisasikan kedua-dua projek berkenaan. -EDISI UKAS