Klinik Baharu RM14.8 Juta Bakal Tingkat Perkhidmatan Kesihatan Di Ba’Kelalan
KUCHING: Kemudahan perkhidmatan kesihatan di kawasan pedalaman Ba’Kelalan bakal dipertingkat menerusi pembinaan Klinik Kesihatan Ba’Kelalan baharu bernilai RM14.8 juta, selain pelaksanaan projek menaik taraf infrastruktur bekalan elektrik Klinik Kesihatan Long Semadoh, Lawas, dengan peruntukan RM4 juta.
Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak, Datuk Michael Tiang Ming Tee berkata, projek pembinaan Klinik Kesihatan Ba’Kelalan baharu Jenis 7 kini dalam proses tender dan dijangka siap pada suku keempat 2028.
“Klinik Kesihatan Ba’Kelalan baharu Jenis 7 telah diluluskan dengan peruntukan RM14.8 juta dan kini dalam proses tender, dengan projek dijangka siap pada suku keempat 2028,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ba’Kelalan, Baru Bian dalam Mesyuarat Kedua Penggal Kelima, Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 di sini pada Rabu.
Sementara itu, beliau memaklumkan projek menaik taraf infrastruktur bekalan elektrik Klinik Kesihatan Long Semadoh, termasuk pemasangan sistem tenaga solar, telah bermula pada 19 Julai 2026 dan dijangka siap pada suku ketiga 2027.
Dalam perkembangan berkaitan, kerja menaik taraf kedua-dua klinik menerusi Projek Klinik Daif telah siap dilaksanakan pada 2024 dengan peruntukan keseluruhan RM750,000.
Daripada jumlah itu, Klinik Kesihatan Ba’Kelalan menerima peruntukan RM450,000 dengan kerja naik taraf siap pada 19 November 2024, manakala Klinik Kesihatan Long Semadoh menerima RM300,000 dan siap pada 22 Oktober tahun sama.-EDISI UKAS