Jejak Warisan Sarawak Buka Peluang Ekonomi Kepada Komuniti Tempatan
KUCHING: Pembangunan jejak warisan di Sarawak bukan sahaja memperkukuh usaha pemeliharaan sejarah dan budaya, malah berpotensi menjana peluang ekonomi kepada komuniti tempatan menerusi pelbagai aktiviti pelancongan berasaskan identiti serta keunikan setempat.
Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Snowdan Lawan berkata, penglibatan aktif komuniti dalam pembangunan jejak warisan membuka ruang kepada penduduk untuk menyumbang pengetahuan, sejarah lisan dan pengalaman berkaitan kawasan masing-masing.
Menurut beliau, pendekatan itu turut membolehkan komuniti memanfaatkan peluang ekonomi menerusi perkhidmatan inap desa, penghasilan produk kraf tangan, penyediaan makanan tempatan, khidmat pemandu pelancong komuniti serta penganjuran aktiviti kebudayaan.
“Melalui pendekatan ini, pemeliharaan warisan bukan sahaja dapat memperkukuh identiti komuniti, ia juga berpotensi menyumbang kepada pembangunan sosioekonomi setempat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machan, Allan Siden Gramong dalam Mesyuarat Kedua Penggal Kelima, Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 di sini pada Rabu.
Mengulas lanjut, beliau berkata, antara inisiatif yang dilaksanakan ialah Jejak Warisan Betong (Betong Heritage Trail) yang meliputi kawasan Betong, Saratok, Pusa dan Kabong.
Pembangunan jejak warisan berkenaan melibatkan sesi libat urus, lawatan tapak dan perkongsian sejarah lisan bersama komuniti serta pihak berkepentingan bagi mengenal pasti lokasi yang mempunyai nilai sejarah dan budaya.
Sementara itu, Jejak Warisan Miri yang dilancarkan pada 2025 mengetengahkan sejarah industri petroleum, warisan Perang Dunia Kedua, legenda dan cerita tempatan serta perkembangan komuniti yang membentuk identiti bandar raya berkenaan.
Di Kuching, inisiatif Old Kuching Smart Heritage (OKSHE) pula merangkumi empat komponen utama, iaitu Kampung Heritage, Historical Business Heritage, Riverfront Heritage dan Historical Monuments Heritage.
Inisiatif berkenaan turut dilengkapi mikrosite yang memudahkan orang ramai dan pelancong mengakses maklumat berkaitan sejarah serta warisan Old Kuching.
Selain pembangunan jejak warisan, usaha pendokumentasian sejarah dan budaya Sarawak turut diperkukuh menerusi penerbitan buku The Revival of Songket & Keringkam Sarawak: Honouring Datuk Amar Juma’ani, Kampung Warisan Bandar Raya Kuching dan Sejarah Kanowit.-EDISI UKAS