Bakat Anak Sarawak Penting Bagi Pembangunan Sumber Semula Jadi
KUCHING: Pembangunan bakat anak Sarawak dalam bidang sains dan teknologi penting bagi memastikan sumber semula jadi negeri dapat dimanfaatkan secara optimum untuk memacu pertumbuhan ekonomi.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, Sarawak mempunyai kelebihan dari segi kepelbagaian sumber tenaga termasuk hidro, solar, biojisim dan gas asli.
Menurutnya, kepelbagaian sumber itu membuka peluang kepada Sarawak untuk meneroka pembangunan tenaga alternatif yang lebih bersih, termasuk penghasilan hidrogen daripada air.
“Untuk menukarkan sumber tersebut kepada tenaga, kita memerlukan tenaga mahir yang sekurang-kurangnya mempunyai asas dalam bidang sains. Itulah sebabnya Kerajaan Sarawak memberikan penekanan terhadap pendidikan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Makan Malam Penghargaan dan Anugerah Swinburne Sarawak 2026 di sebuah hotel terkemuka di sini, pada Selasa.
Pada perkembangan sama, Datuk Patinggi Abang Zohari turut menekankan kepentingan melahirkan lebih ramai anak Sarawak yang pakar dalam bidang algoritma dan kecerdasan buatan (AI) bagi memenuhi keperluan pembangunan teknologi masa hadapan.
Menurutnya, meskipun AI berupaya memproses data secara sistematik dan tepat berdasarkan pengaturcaraan namun kebijaksanaan manusia yang terbentuk melalui pengalaman tetap penting dalam menentukan penyelesaian.
Jelasnya, gabungan keupayaan manusia dengan teknologi AI, disokong oleh kekayaan sumber semula jadi negeri, mampu memacu pertumbuhan ekonomi Sarawak ke tahap lebih tinggi.
Pada kemuncak majlis, Premier Sarawak berkesempatan menyampaikan Anugerah Graduan Cemerlang yang diterima Evan Wong Kuan Seng dan Anugerah Graduan Cemerlang Sarawak yang diterima Nursyahida Abdul Rashid.
Selain itu, seramai 10 graduan cemerlang Universiti Teknologi Swinburne Kampus Sarawak turut menerima Anugerah Industri bagi Prestasi Akademik Cemerlang atas pencapaian membanggakan dalam bidang pengajian masing-masing.
Anugerah itu disampaikan oleh rakan industri universiti, termasuk Sarawak Information Systems Sdn Bhd, CPA Australia Ltd, Ernst & Young PLT, Crowe Malaysia PLT, KPMG Malaysia PLT, Hock Seng Lee Berhad, My Team Stars (M) Sdn Bhd, Sarawak Oil Palms Berhad dan PDC Design Group Sdn Bhd.
Hadir sama, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Prof Dr Sim Kui Hian, Pengerusi Lembaga Pengarah Swinburne Sarawak Datuk Amar Jaul Samion serta Naib Presiden (Pendidikan, Pengalaman dan Kebolehpasaran Graduan) merangkap Pendaftar Universiti Teknologi Swinburne Ewan Evans. -EDISI UKAS
Disediakan Oleh: Ahmad Daniel Faiz
Gambar: Jaed Tepus