Kejohanan Muaythai Piala Premier Sarawak 2026 Kembali 15 Hingga 18 Oktober Ini
BINTULU: Pertembungan epik membabitkan hampir 300 petinju tempatan dan luar negara bakal ditampilkan pada Kejohanan Muaythai Piala Premier Sarawak 2026 yang kembali menggamatkan Bandar Bintulu dari 15 hingga 18 Oktober ini.
Penganjuran memasuki Edisi Ke-10 itu sekali lagi bakal berlangsung di Naim Street Mall@ Bintulu Paragon dengan penyertaan peserta mewakili 29 kelab dari enam buah negeri dan lapan negara.
Negeri yang mengesahkan penyertaan ialah tuan rumah Sarawak, Sabah, Terengganu, Selangor, Pahang dan Johor.
Manakala penyertaan antarabangsa datang dari Indonesia, Brunei, Singapura, Yaman, Iran, Sepanyol, Colombia dan Syria yang akan membariskan ramai petinju muaythai ternama.
Selain menyajikan pertembungan muaythai membabitkan pelbagai kategori amatur hingga profesional, edisi kali turut dipenuhi dengan pelbagai acara sampingan bagi memeriahkan penganjurannya.
Antaranya persembahan seni bela diri yang menampilkan pertunjukan silat melibatkan pelbagai kelab tempatan membabitkan seramai 130 peserta.
Acara sampingan lain termasuk pertandingan dart, slingshot dan e-sukan yang menghimpunkan kira-kira 400 peserta secara total.
Kesemua acara tersebut akan diadakan pada hari pertama, 15 Oktober bermula jam 7.30 malam.
Manakala pada hari kedua, pertandingan akan bermula jam 2.30 petang melibatkan kategori amatur, muaysport dan superfight pro.
Aksi akan diteruskan pada Sabtu bermula jam 8.30 pagi, disusuli majlis perasmian jam 8 malam yang dijangka disempurnakan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg dengan kehadiran tetamu kenamaan lain.
Pada malam sama, akan dinobatkan juara keseluruhan bagi merebut trofi utama, Piala Premier Sarawak.
Perlawanan akan diteruskan pada Ahad bermula jam 8.30 pagi, disusuli penyampaian hadiah pemenang muaythai termasuk juara pertandingan dart, slingshot, e-sukan dan silat.
Kejohanan Muaythai Piala Premier Sarawak 2026 dianjurkan oleh Persatuan Muaythai Negeri Sarawak (PMNS) dengan sokongan Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak (MTCP), Perbadanan Sukan Sarawak (SSC), Naim Street Mall@ Paragon Bintulu serta rakan-rakan strategik yang lain. - EDISI UKAS