49 Rumah Panjang Di Ngemah Nikmati Bekalan Elektrik
KUCHING: Sebanyak 49 buah rumah panjang yang melibatkan 751 isi rumah dapat menikmati bekalan elektrik di bawah Projek ‘Rural Electrification Scheme (RES) Last Miles’ sejak tahun 2020.
Timbalan Menteri Utiliti (Sarawak Energy dan PETROS) Datuk Ibrahim Baki berkata, sebanyak lima buah rumah panjang melibatkan 82 isi rumah sedang dalam proses pelaksanaan dan dijangka siap secara berperingkat mulai suku pertama tahun 2027.
Katanya lagi, kos pelaksanaan untuk Projek RES Last Miles di konstituensi Ngemah berjumlah RM13.1 juta.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ngemah, Anyi Jana dalam Mesyuarat Kedua Penggal Kelima, Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 pada Rabu.
Menurut Datuk Ibrahim, antara cabaran utama dalam pelaksanaan projek penyambungan bekalan elektrik di DUN Ngemah ialah mendapatkan kebenaran izin lalu (wayleave), keadaan topografi yang mencabar serta kesukaran akses ke tapak projek. - EDISI UKAS