FTES Tidak Ubah Syarat Penganugerahan Ijazah, Kelulusan Bahasa Melayu Tetap Wajib
KUCHING: Skim Pendidikan Tinggi Percuma Sarawak (FTES) tidak mengubah syarat akademik dan perundangan sedia ada, termasuk keperluan pelajar memenuhi syarat kelulusan Bahasa Melayu sebelum dianugerahkan ijazah oleh institusi pengajian tinggi swasta (IPTS).
Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Dr Annuar Rapaee berkata, FTES merupakan skim pembiayaan pendidikan yang membolehkan anak Sarawak melanjutkan pengajian tinggi secara percuma dan bukannya dasar yang mengubah syarat kemasukan atau penganugerahan ijazah.
Menurut beliau, perkara itu selaras dengan peruntukan Seksyen 41(5), Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta 1996 (Akta 555) yang menetapkan keperluan berkaitan penguasaan bahasa kebangsaan bagi pelajar IPTS.
“Mana-mana anak Sarawak yang diterima masuk ke empat institusi berkenaan dalam 64 program pengajian yang ditawarkan di bawah FTES secara automatik layak menikmati pendidikan tinggi percuma.
“Bagaimanapun, setiap pelajar tetap perlu mematuhi peruntukan undang-undang berkaitan syarat penganugerahan ijazah,” katanya dalam sidang media di Bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini pada Rabu.
Mengulas lanjut, beliau menjelaskan bahawa keperluan berkenaan berbeza dengan syarat kemasukan ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) yang mewajibkan kepujian dalam mata pelajaran Bahasa Melayu pada peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
“Undang-undang tidak menetapkan Bahasa Melayu sebagai syarat kemasukan ke universiti swasta, tetapi sebelum memperoleh ijazah, pelajar mesti mencapai tahap penguasaan bahasa kebangsaan yang ditetapkan.
“Jika mereka tidak mempunyai kelayakan Bahasa Melayu yang diperlukan, mereka wajib mengambil mata pelajaran Bahasa Kebangsaan A di bawah Mata Pelajaran Pengajian Umum (MPU) dan lulus sebelum bergraduasi,” jelasnya.
Datuk Dr Annuar turut menegaskan bahawa empat institusi pengajian tinggi milik Kerajaan Sarawak, iaitu Universiti Teknologi Sarawak (UTS), i-CATS University College, Swinburne University of Technology Sarawak Campus dan Curtin University Malaysia, tetap tertakluk kepada Akta 555 meskipun dimiliki melalui syarikat kerajaan negeri.-EDISI UKAS