Beberapa Langkah Perlu Dilaksana Sebelum Tambahan Kerusi Parlimen Dimuktamadkan
KUCHING: Beberapa langkah perlu dilaksanakan sebelum cadangan menambah perwakilan Sarawak dan Sabah di Dewan Rakyat dapat direalisasikan.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan), Datuk Sharifah Hasidah Said Ahmad Ghazali berkata, proses itu memerlukan persetujuan mengenai formula dan jumlah kerusi, diikuti pindaan Perlembagaan Persekutuan serta persempadanan semula oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
“Bagi perwakilan di Parlimen, langkah seterusnya ialah mencapai persetujuan antara Kerajaan Persekutuan, Sarawak dan Sabah mengenai formula serta jumlah kerusi, menyediakan Rang Undang-Undang Pindaan Perlembagaan untuk kelulusan Parlimen dan seterusnya melaksanakan persempadanan semula oleh Suruhanjaya Pilihan Raya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Assek dalam Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19, di sini pada Selasa.
Datuk Sharifah menambah, perwakilan satu pertiga kerusi Parlimen bagi Sarawak dan Sabah merupakan perlindungan perlembagaan bagi mengekalkan keseimbangan dalam Persekutuan.
Ketika Malaysia dibentuk pada 1963, Sarawak, Sabah dan Singapura secara keseluruhan mempunyai 55 daripada 159 kerusi Parlimen, iaitu kira-kira satu pertiga. Namun, selepas Singapura berpisah pada 1965, nisbah itu tidak diagihkan semula.
Ketika ini, Sarawak dan Sabah masing-masing mempunyai 31 dan 25 kerusi daripada keseluruhan 222 kerusi Dewan Rakyat, iaitu kira-kira 25 peratus.-EDISI UKAS
Disediakan oleh: Grace John Lee
Foto: Hazrin Sunaini