312 Surat Hak Milik Tanah NCR Di Bukit Semuja Telah Dikeluarkan
KUCHING: Usaha Persatuan Kebangsaan Dayak Bidayuh (DBNA) dalam membantu mempercepatkan proses pengukuran tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) membuahkan hasil apabila sebanyak 312 surat hak milik tanah melibatkan dua kawasan di Bukit Semuja telah dikeluarkan setakat 30 September 2026.
Timbalan Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar, Datuk Len Talif Salleh berkata, kedua-dua kawasan yang didokumentasikan oleh DBNA itu melibatkan keluasan 528 hektar atau 1,305 ekar di bawah Seksyen 18 Kanun Tanah Sarawak.
Menurutnya, secara keseluruhan, sebanyak 1,255 surat hak milik tanah melibatkan tiga kawasan seluas 741 hektar atau 1,831 ekar telah dikeluarkan di bawah Program Pengukuran Tanah NCR Inisiatif Baharu di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Semuja.
Selain itu, sebanyak 451 surat hak milik tanah turut dikeluarkan bagi tiga kampung berkeluasan 21 hektar atau 52 ekar menerusi Program Pengukuran Kampung Tradisional.
“Kerajaan Sarawak menghargai komitmen dan inisiatif DBNA dalam membantu mempercepatkan pengukuran tanah NCR Seksyen 6 dan 18 Kanun Tanah Sarawak," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Semuja, John Ilus dalam Persidangan DUN Sarawak Ke-19 pada Rabu.
Bagaimanapun, hasil dokumentasi berkenaan perlu melalui proses verifikasi dan validasi oleh Jabatan Tanah dan Survei Sarawak sebelum pewartaan serta pengeluaran surat hak milik dapat disahkan.
Sementara itu, bagi DUN Tebedu, sebanyak 13 daripada 16 kawasan yang diluluskan untuk pengukuran lot individu telah didokumentasikan oleh DBNA, melibatkan keluasan kira-kira 32,733 hektar atau 80,884 ekar.
Daripada jumlah tersebut, seluas 5,603 hektar atau 13,845 ekar telah siap diukur melibatkan 5,775 lot, manakala sebanyak 4,136 surat hak milik tanah di bawah Seksyen 18 Kanun Tanah Sarawak telah didaftarkan untuk penyerahan secara berperingkat.-EDISI UKAS