Perkukuh Usaha Tangani Isu Dokumentasi Kelahiran Kanak-Kanak Di Sarawak
KUCHING: Seramai 224 kanak-kanak yang lahir di Sarawak didaftarkan sebagai bukan warganegara bagi tempoh Januari hingga Ogos 2026 berdasarkan rekod Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, jumlah itu merupakan sebahagian daripada keseluruhan 2,010 pendaftaran kelahiran sebagai bukan warganegara yang direkodkan di Sarawak bagi tempoh 2022 hingga Ogos 2026.
“Berdasarkan rekod Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), bagi tempoh Januari hingga Ogos 2026, seramai 224 orang yang lahir di Sarawak telah didaftarkan sebagai bukan warganegara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Engkilili, Johnichal Rayong Ngipa dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 di sini pada Rabu.
Menurut beliau, antara faktor yang menyebabkan kanak-kanak didaftarkan sebagai bukan warganegara atau diberikan sijil kelahiran berwarna merah jambu ialah perkahwinan ibu bapa yang tidak didaftarkan atau tidak diiktiraf mengikut undang-undang Malaysia, ibu yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri sah serta kes kanak-kanak yang dijumpai atau ditinggalkan.
Sehubungan itu, pelbagai langkah dilaksanakan bagi menangani isu berkenaan, termasuk mengadakan sesi dialog bersama komuniti dan kempen kesedaran mengenai kepentingan pendaftaran perkahwinan yang sah mengikut undang-undang Malaysia.
Selain itu, usaha turut dilaksanakan bagi membantu ibu yang lahir di Sarawak tetapi tidak mempunyai dokumen pengenalan diri mendapatkan dokumen berkenaan melalui saluran dan prosedur yang ditetapkan di bawah Ordinan Pendaftaran Kelahiran dan Kematian (Bab 10).
“Bagi ibu yang bukan warganegara, menggalakkan pengurusan dan pengemaskinian dokumen perjalanan yang sah serta memastikan dokumentasi kelahiran anak diuruskan dengan teratur,” ujarnya.
Bagi kes kanak-kanak yang dijumpai atau ditinggalkan, beliau berkata, proses pendaftaran perlu diselaraskan dengan pihak berkuasa berkaitan termasuk JPN bagi memastikan status dan dokumentasi mereka dapat ditentukan mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
Sementara itu, berdasarkan rekod JPN, sebanyak 363 pendaftaran kelahiran sebagai bukan warganegara direkodkan pada 2022, diikuti 665 pada 2023, 418 pada 2024 dan 340 pada 2025, manakala 224 lagi dicatatkan bagi tempoh Januari hingga Ogos 2026.-EDISI UKAS