Balingian Dicadang Dinaik Taraf Sebagai Daerah Penuh, Perkukuh Perkhidmatan Rakyat
KUCHING: Cadangan menaik taraf Balingian daripada Daerah Kecil kepada Daerah Penuh wajar dipertimbangkan bagi memperkukuh sistem pentadbiran, memperluas akses perkhidmatan kerajaan serta merancakkan pembangunan sosioekonomi setempat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balingian, Abdul Yakub Arbi berkata, cadangan itu mengambil kira keluasan kawasan, pertambahan penduduk, perkembangan ekonomi serta peningkatan keperluan rakyat terhadap perkhidmatan kerajaan.
"Dengan status Daerah Penuh, urusan pentadbiran dapat diperkukuh, kehadiran agensi kerajaan dapat diperluas dan rakyat akan lebih mudah mendapatkan perkhidmatan tanpa perlu bergantung kepada pusat pentadbiran yang lebih jauh,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan (2027), 2026 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19, di sini, pada Rabu.
Menurutnya lagi, penaiktarafan status pentadbiran itu juga berpotensi mempercepat pembangunan infrastruktur dan kemudahan awam, sekali gus memperkukuh kedudukan Balingian sebagai pusat pertumbuhan baharu di kawasan pesisir Mukah.
Dalam perkembangan berkaitan, Abdul Yakub turut menggesa supaya projek pembinaan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Balingian yang dikategorikan sebagai projek sakit diberikan keutamaan untuk dipulihkan dan disiapkan segera.
Katanya, agensi pelaksana perlu menyediakan jadual penyempurnaan yang jelas bagi mengelakkan kelewatan berpanjangan sehingga menjejaskan keperluan pendidikan masyarakat setempat.
Pada masa sama, beliau berharap usaha memperluas liputan bekalan air bersih, elektrik dan telekomunikasi terus dipergiat, khususnya di kawasan luar bandar yang masih berdepan kekurangan kemudahan asas.
Beliau turut memohon perhatian terhadap kerja penyelenggaraan, naik taraf dan penyambungan pembinaan Jalan Persekutuan Balingian–Sungai Anak yang menghubungkan rangkaian Jalan Pan Borneo.
Menurutnya, laluan berkenaan berpotensi menjadi jalan alternatif dari Balingian ke Bintulu selain menyokong pergerakan kenderaan berat dan aktiviti perindustrian di kawasan terbabit.-EDISI UKAS