Semua Kawasan Daro Kini Nikmati Bekalan Elektrik 24 Jam
KUCHING: Semua kawasan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Daro kini menikmati bekalan elektrik selepas pelaksanaan tiga projek Skim Pembekalan Elektrik Luar Bandar (RES) Last Miles oleh kerajaan Sarawak, sekali gus menamatkan kebergantungan penduduk terhadap generator yang membebankan dari segi kos operasi.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro, Dr. Safiee Ahmad berkata, sebelum ini hanya sekitar 30 peratus kawasan Daro mempunyai bekalan elektrik, manakala selebihnya bergantung kepada generator, khususnya di kawasan pesisir sungai.
Menurutnya, kawasan Sungai Mawan, Tanjung Keling, Sebinjai, Serban, Nanga Lassa dan Sawai telah menikmati bekalan elektrik 24 jam sejak dua tahun lalu dengan peruntukan hampir RM21 juta, manakala projek di Batang Lassa, Daerah Matu, bernilai RM7.7 juta siap sebelum perayaan Gawai Dayak tahun lalu.
Manakala, kawasan yang paling jauh iaitu Nanga Passin, Matu yang mempunyai tujuh buah rumah panjang, sebuah klinik dan sebuah sekolah juga menikmati bekalan elektrik yang stabil mulai 16 Julai yang lepas, dengan kos projek berjumlah RM6 juta.
“Alhamdulillah terima kasih diucapkan kepada kerajaan Sarawak melalui Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak dan pihak Sarawak Energy Berhad (SEB) selaku agensi pelaksana dengan menggunakan dana kerajaan Sarawak sendiri, telah meluluskan peruntukan melalui tiga projek RES Last Miles bagi membekalkan bekalan elektrik ke kawasan-kawasan ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (2027), 2026 dalam Persidangan DUN Sarawak Ke-19 pada Rabu.
Tambah Dr. Safiee, pelaksanaan projek berkenaan mengurangkan beban kewangan penduduk yang sebelum ini membelanjakan antara RM500 hingga RM800 sebulan untuk membeli diesel atau petrol bagi mengendalikan generator.
“Apa yang lebih menggembirakan, selain daripada menikmati bekalan elektrik 24 jam yang stabil, ia secara tidak langsung mengurangkan perbelanjaan rakyat.
"Mereka hanya perlu membayar bil elektrik sekitar RM50 sebulan sahaja berbanding dahulunya lebih daripada RM500,” jelasnya lanjut.
Dalam perbahasan sama, Dr. Safiee turut menekankan peningkatan kestabilan bekalan elektrik di tanah besar Daro menerusi pembinaan pencawang elektrik 132kV Daro yang menelan kos lebih RM330 juta dan mula beroperasi pada 2019.
Katanya, penambahbaikan infrastruktur berkenaan membantu mengurangkan gangguan bekalan elektrik yang sebelum ini menjejaskan urusan harian penduduk serta aktiviti perniagaan di Daro dan Matu.-EDISI UKAS