12 Rumah Panjang Di Pedalaman Sarikei Perlukan Bekalan Air Terawat
KUCHING: Sebanyak 12 rumah panjang di kawasan pedalaman Sarikei, termasuk Sebangkoi/Bukit Kayu Malam dan Sungai Mawang/Sungai Rusa, masih belum menikmati kemudahan bekalan air terawat sepenuhnya, sekali gus mendorong permintaan supaya status pelaksanaan projek berkaitan diperjelaskan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok, Dato Sri Huang Tiong Sii berkata, penduduk di kawasan berkenaan masih bergantung kepada sumber air sungai dan tadahan hujan yang kualitinya tidak terjamin.
“Penduduk di kawasan ini masih bergantung kepada sungai dan tadahan hujan, yang kualiti airnya tidak terjamin serta berisiko menjejaskan kesihatan, khususnya kanak-kanak dan warga emas,” ujar beliau.
Beliau berkata demikian semasa membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (2027) semasa Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, di sini pada Rabu.
Sehubungan itu, beliau meminta kerajaan menjelaskan status semasa projek bekalan air terawat bagi kawasan Sebangkoi/Bukit Kayu Malam dan Sungai Mawang/Sungai Rusa bagi mengetahui perkembangan usaha menyediakan kemudahan asas itu kepada penduduk terlibat.
Menyentuh isu lain, beliau memberitahu terdapat beberapa kawasan pedalaman, termasuk rumah panjang dan perkampungan yang jauh dari pusat bandar, masih menghadapi masalah untuk mendapat isyarat rangkaian telefon dan internet yang stabil.
“Sehubungan dengan itu, saya mengalu-alukan kenyataan Premier Sarawak semasa sesi pembentangan Belanjawan Sarawak 2027 bahawa untuk merapatkan jurang pembangunan luar bandar bagi menghubungkan masyarakat dengan pasaran dan peluang,” ujarnya lagi.
Megenai pembangunan infrastruktur, beliau berkata, Jambatan Sungai Lepong yang dibina pada 1990 perlu dibina semula bagi memenuhi keperluan semasa penduduk luar bandar, khususnya 16 rumah panjang dan sebuah sekolah rendah yang bergantung kepada jambatan itu sebagai laluan perhubungan utama.
Katanya, jambatan sepanjang 28 meter dan selebar 4.2 meter itu memainkan peranan penting dalam menghubungkan penduduk untuk urusan harian, selain memastikan kelancaran pergerakan barangan dan penyampaian perkhidmatan.
“Jambatan merupakan nadi penghubung utama bagi penduduk Sarikei, bukan sahaja untuk urusan harian tetapi juga bagi kelancaran pergerakan barangan dan perkhidmatan,” ujar beliau.
Bagaimanapun jelasnya, struktur jambatan sedia ada tidak lagi memenuhi keperluan semasa, sekali gus memerlukan perhatian kerajaan bagi memastikan kemudahan perhubungan yang lebih selamat dan boleh dipercayai dapat disediakan kepada masyarakat setempat.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan supaya kerajaan melaksanakan pembinaan semula Jambatan Sungai Lepong bagi meningkatkan kemudahan perhubungan serta memenuhi keperluan penduduk yang menggunakannya.
Dari aspek perhubungan sungai pula, Dato Sri Huang menegaskan, penaiktarafan jeti komersial sedia ada yang uzur dan berkapasiti terhad amat diperlukan bagi meningkatkan keselamatan serta kecekapan operasi pengangkutan sungai dan perdagangan di Sarikei.
“Sarikei sebagai pusat perdagangan dan pengangkutan sungai memerlukan penaiktarafan jeti komersial sedia ada yang uzur dan berkapasiti terhad bagi meningkatkan keselamatan serta kecekapan operasi,” tegasnya.
Katanya, pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) terdahulu, Menteri berkaitan memaklumkan bahawa projek berkenaan berada pada peringkat reka bentuk dan dijangka ditender pada suku kedua 2026.
Pembinaan pula dijadualkan bermula pada suku ketiga 2026 dengan tempoh pelaksanaan selama 24 bulan, manakala jeti itu dijangka mula beroperasi pada suku keempat 2028.
Sehubungan itu, beliau meminta kerajaan memberikan perkembangan terkini projek berkenaan, termasuk tarikh rasmi pembinaan bermula, anggaran kos keseluruhan dan tarikh jangkaan siap bagi mengetahui status pelaksanaannya. -EDISI UKAS