FORUM Jemput Premier Sarawak Rasmi Pusat Kebudayaan 7 November Ini
KUCHING: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg dijemput untuk merasmikan Pusat Kebudayaan Persekutuan Persatuan Orang Ulu Malaysia (FORUM) di Miri yang bakal diadakan pada 7 November 2026.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek) Datuk Gerawat Gala berkata, jemputan itu disampaikan menerusi kunjungan hormat delegasi FORUM kepada Premier Sarawak di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak pada Rabu.
Beliau berkata, pusat kebudayaan berkenaan siap dibina pada penghujung 2024 hasil penyediaan tanah seluas lima ekar dan peruntukan daripada Kerajaan Sarawak bagi pembangunannya.
“Premier Sarawak telah memberi tanah seluas lima ekar untuk FORUM membangunkan pusat kebudayaan ini dan beliau turut memberikan peruntukan yang mencukupi untuk pembinaan pusat ini yang sudah siap pada penghujung tahun 2024,” katanya kepada pemberita selepas mengetuai delegasi kunjungan hormat berkenaan.
Datuk Gerawat yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mulu memberitahu, Jawatankuasa Pembangunan Kedaya Telang Usan (JPKTU) yang turut menyertai kunjungan hormat itu telah menyampaikan hasrat mereka kepada Datuk Patinggi Abang Zohari berkaitan keperluan di kawasan berkenaan, termasuk jalan raya dan permohonan untuk sebuah lapangan terbang landasan pendek (STOLport).
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Premier Sarawak atas perkongsian pandangan dan nasihat yang diberikan kepada pihak FORUM serta ketua masyarakat dan ketua kaum yang hadir.
Turut hadir, Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak merangkap ADUN Belaga Datuk Liwan Lagang, ADUN Telang Usan Dato Dennis Ngau, ADUN Batu Danau Dato Paulus Palu Gumbang serta ADUN Murum Kennedy Chukpai Ugon.-EDISI UKAS