Percepat Pemasangan Lampu Jalan Jakar & Jalan Kim San
KUCHING: Pemasangan lampu jalan berkuasa solar di Jalan Jakar dan Jalan Kim San perlu disegerakan bagi mengurangkan risiko kemalangan serta meningkatkan keselamatan pengguna jalan raya, khususnya pada waktu malam.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok, Dato Sri Huang Tiong Sii berkata, keadaan jalan yang gelap bukan sahaja membahayakan pengguna, malah memerlukan perhatian segera berikutan peningkatan penggunaan laluan berkenaan oleh penduduk setempat.
Menurut beliau, Jalan Kim San kini menempatkan lebih 150 buah rumah dan sembilan rumah panjang, selain menjadi laluan alternatif bagi penduduk Jalan Sungai Rusa yang melibatkan 60 keluarga serta sebuah rumah panjang.
“Mengambil kira kesan akibat kekurangan lampu jalan, saya mencadangkan agar kerajaan mempercepat pemasangan lampu jalan berkuasa solar di sepanjang Jalan Jakar dan Jalan Kim San demi keselamatan awam serta memenuhi keperluan komuniti Sarikei yang semakin berkembang,” ujar beliau.
Beliau berkata demikian semasa membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (2027) semasa Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, di sini pada Rabu.
Menurutnya, pertambahan jumlah penduduk yang menggunakan laluan itu setiap hari mengukuhkan keperluan untuk menyediakan kemudahan pencahayaan jalan yang mencukupi demi keselamatan dan keselesaan mereka.
Menyentuh perkhidmatan kesihatan, Dato Sri Huang berkata, peningkatan jumlah pesakit saban tahun di Hospital Sarikei dan Poliklinik Sarikei memerlukan tindakan kerajaan untuk meluaskan kawasan tempat letak kereta di kedua-dua fasiliti kesihatan berkenaan.
Katanya, kemudahan tempat letak kereta yang sedia ada di Hospital Sarikei iaitu 73 petak untuk kakitangan dan 258 petak untuk orang awam, tidak lagi mencukupi untuk menampung keperluan yang semakin meningkat.
Masalah berkenaan menurutnya, turut dihadapi oleh Poliklinik Sarikei memandangkan Poliklinik Sarikei merekodkan kira-kira kedatangan 152,000 pesakit pada tahun 2024, dan meningkat kepada lebih kurang 169,000 orang pada tahun
2025.
“Keadaan ini menyebabkan kesesakan lalu lintas, serta menyukarkan warga emas, pesakit kronik, dan ibu membawa anak kecil,” tegas beliau.
Beliau dalam pada itu turut mendedahkan bahawa Hospital Sarikei mencatatkan kira-kira 11 ribu pesakit dalam dan 39 ribu pesakit luar pada tahun 2025.
Sehubungan itu, beliau memerlukan kerajaan untuk membuat perancangan atau langkah penyelesaian jangka pendek bagi menangani kesesakan tempat letak kenderaan di kedua-dua fasiliti kesihatan berkenaan. -EDISI UKAS