Loji Rawatan Air Baharu Dicadang Di Lubok Nibong, Atasi Gangguan Bekalan Air
KUCHING: Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi (MUT) menerusi Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) diminta menjalankan kajian kebolehlaksanaan pembinaan loji rawatan air baharu di Lubok Nibong menggunakan sumber air dari Sungai Krian bagi menangani masalah gangguan bekalan air di kawasan Kalaka.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri berkata, cadangan itu penting bagi memastikan penduduk menikmati bekalan air bersih, selamat dan berterusan, khususnya ketika musim kemarau berpanjangan.
“Kita tidak mahu penduduk terus berhadapan dengan gangguan bekalan air setiap kali musim kemarau melanda. Air merupakan keperluan asas, dan setiap keluarga berhak menikmati bekalan yang bersih, selamat serta berterusan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan (2027), 2026 dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 di sini pada Rabu.
Menurutnya lagi, gangguan bekalan air yang menjejaskan penduduk di Kaba, Kali Kaba, Lubok Nibong, Perpat dan Kampung Paloh berpunca daripada penurunan paras air mentah sehingga menyebabkan Loji Rawatan Air Lichok tidak dapat beroperasi secara optimum susulan cuaca kering pada September lalu.
Sehubungan itu, beliau berharap kajian berkenaan dapat dilaksanakan bagi mengenal pasti penyelesaian jangka panjang sekali gus memperkukuh sistem bekalan air di kawasan terbabit.
Dalam perkembangan lain, Mohamad turut menggesa penyelesaian menyeluruh terhadap masalah banjir kilat di Pekan Saratok dan Perumahan Desa Damai susulan kejadian pada 15 dan 27 September lalu.
Katanya, penilaian teknikal perlu dilaksanakan terhadap keseluruhan sistem perparitan, termasuk mengenal pasti longkang sempit, cetek serta halangan aliran air yang boleh menjejaskan keberkesanan saliran ketika hujan lebat.
Beliau turut menekankan keperluan menaik taraf sistem perparitan secara menyeluruh berdasarkan keutamaan dan hasil penilaian teknikal bagi mengelakkan kejadian banjir kilat berulang.-EDISI UKAS
Disediakan oleh: Nur Marisa
Foto: Ibanez Jeffery Guang