Projek Penyaluran Air Dari Mukah Ke Daro Diminta Diberi Keutamaan
KUCHING: Projek penyaluran bekalan air dari Loji Rawatan Air Basong, Mukah ke Daro diminta diberi keutamaan bagi memastikan penduduk menikmati bekalan air bersih yang mencukupi dan berterusan khususnya ketika musim kemarau.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro, Dr. Safiee Ahmad berkata, meskipun pelbagai projek infrastruktur bekalan air telah dilaksanakan, sumber air sedia ada masih belum mencukupi untuk memenuhi keperluan penduduk.
“Meskipun beberapa prasarana dan projek bekalan air yang telah dilaksanakan ini, didapati sumber bekalan air di Daro masih tidak mencukupi khususnya ketika musim kemarau.
“Sehubungan itu, saya memohon kepada kerajaan agar projek menyalurkan bekalan air dari Loji Rawatan Air Basong, Mukah ke Daro dapat diberi keutamaan untuk dilaksanakan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan (2027), 2026 dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19, di sini pada Rabu.
Tambahnya lagi, antara inisiatif yang telah dilaksanakan ialah projek Sistem Alternatif Bekalan Air Sarawak (SAWAS) berpusat bagi Kampung Penasu dan Nanga Semah bernilai RM23 juta yang siap pada 14 Mei 2026.
Selain itu katanya, projek SAWAS turut dilaksanakan di Batang Lassa dengan peruntukan RM16.5 juta, Sungai Serban (RM13.8 juta) dan Rumah Hudson Madut (RM2.5 juta).
Katanya, projek pembinaan tangki aras tinggi di Panchor dan Badong masing-masing menerima peruntukan RM9.8 juta dan RM15 juta.
Sementara itu, sebanyak RM12.6 juta turut diperuntukkan bagi projek Acute Water Supply di Loji Rawatan Air Daro, Kampung Pangtray.
Dalam perbahasan sama, Dr. Safiee turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Sarawak, khususnya Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak (MUTS) serta Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB), atas usaha memperkukuh kemudahan bekalan air bersih di Daro.-EDISI UKAS