Enam Projek RADDA Bernilai RM122.5 Juta Bakal Rancakkan Pembangunan Balingian
KUCHING: Sebanyak enam projek pembangunan bernilai RM122.5 juta menerusi Agensi Pembangunan Delta Rajang (RADDA) dijangka menjadi pemangkin kepada peningkatan kemudahan awam, pembangunan sektor pertanian dan pertumbuhan ekonomi di Balingian.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balingian, Abdul Yakub Arbi berkata, pelaksanaan projek berkenaan berpotensi memberi manfaat langsung kepada masyarakat menerusi penyediaan infrastruktur lebih baik, pengukuhan aktiviti ekonomi serta pembangunan kawasan rekreasi dan penempatan.
“Saya berharap proses reka bentuk, pertapakan dan tender dapat diselaraskan dengan lebih cekap bagi mengelakkan kelewatan pelaksanaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan (2027), 2026 dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19, di sini pada Rabu.
Enam projek berkenaan merangkumi pembinaan Jalan SK Sungai Liuk–Kuala Balingian Fasa 3, Taman Rekreasi Balingian, Pusat Latihan Pertanian Balingian, Tanjung Pedada Eco-Park, Dataran Baharu Tapak Pesta Bederun serta projek pemuliharaan tebingan sungai di Kampung Suyong.
Menurut Abdul Yakub, penyelarasan yang lebih cekap antara agensi pelaksana amat penting bagi memastikan setiap projek dapat dilaksanakan mengikut perancangan dan memberi manfaat kepada penduduk.
Beliau turut menekankan keperluan menyediakan jadual pelaksanaan yang jelas bagi projek yang masih dalam peringkat perancangan, termasuk tarikh mula, jangkaan siap serta tempoh manfaatnya dapat dinikmati rakyat.
Katanya, ketelusan dalam pelaksanaan projek perlu diberi perhatian selaras dengan pendekatan Results-Based Budgeting atau Belanjawan Berasaskan Hasil bagi memastikan setiap peruntukan menghasilkan impak pembangunan yang nyata kepada rakyat.-EDISI UKAS