Hubungkan SEZ Sibu Dengan Projek Pembangunan Semula Bukit Assek
KUCHING: Projek Pembangunan Semula Bukit Assek perlu diselaraskan dengan pembangunan Zon Ekonomi Khas (SEZ) Sibu bagi merancakkan pertumbuhan ekonomi bandar itu, menarik pelaburan baharu dan mewujudkan peluang pekerjaan berkualiti.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Assek, Joseph Chieng Jin Ek berkata, Kerajaan Persekutuan wajar mempertimbangkan insentif cukai bersasar kepada pelabur yang layak untuk melaksanakan projek pembangunan semula dan komersial di Bukit Assek.
Menurutnya, langkah seperti elaun cukai pelaburan atau pelepasan cukai untuk tempoh tertentu dapat menggalakkan pelaburan sektor swasta dalam pembangunan premis komersial moden, kemudahan perniagaan dan aktiviti ekonomi lain yang mampu mewujudkan peluang pekerjaan berkualiti.
“Dengan menyelaraskan insentif fiskal Persekutuan dengan pelan pembangunan semula bandar Sarawak, kita dapat menghidupkan semula pusat bandar Sibu, menarik perniagaan baharu dan mewujudkan persekitaran yang lebih menarik kepada pelabur, golongan profesional serta penduduk,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan (2027) 2026 dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 pada Rabu.
Mengulas lanjut, Joseph memberitahu, Projek Pembangunan Semula Bukit Assek yang melibatkan kawasan seluas 820 ekar bukan sekadar projek pembaharuan bandar, sebaliknya merupakan sebahagian daripada transformasi ekonomi Sibu secara menyeluruh.
Jelasnya, pelan induk projek berkenaan telah mendapat kelulusan akhir Majlis Perancangan Negeri (MPN) pada 28 Januari 2026 dengan perancangan bersepadu meliputi aspek tebatan banjir, sistem saliran, pengangkutan, perumahan, pembangunan komersial dan kawasan hijau bagi mewujudkan persekitaran bandar yang lebih mampan dan selesa didiami.
Gesanya, Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah (LCDA) perlu meneruskan sesi libat urus dengan orang ramai serta mempertimbangkan penubuhan ruang pameran tetap bagi membolehkan penduduk dan pemilik tanah mendapatkan maklumat terkini serta mengemukakan maklum balas.
Menurutnya lagi, penyediaan perumahan penempatan semula yang mampu milik, layanan adil terhadap pemilik tanah yang terjejas dan perlindungan kepentingan masyarakat perlu terus menjadi keutamaan sepanjang pelaksanaan projek berkenaan.
Dengan pembangunan semula itu dijangka mengambil masa sekurang-kurangnya 15 tahun, kerajaan perlu menetapkan fasa pelaksanaan dan garis masa yang jelas terutamanya penambahbaikan infrastruktur serta langkah tebatan banjir yang mendesak. -EDISI UKAS
Disediakan Oleh: Ahmad Daniel Faiz
Gambar: Ibanez Jeffery