Hasil Dijangka Cecah RM15.091 Bilion, Kukuhkan Keupayaan Kewangan Sarawak
KUCHING: Hasil Sarawak yang diunjurkan meningkat kepada RM15.091 bilion pada 2027 berbanding RM6.864 bilion pada 2017 mencerminkan pengukuhan kedudukan kewangan negeri, sekali gus memperluas keupayaan membiayai pembangunan demi kesejahteraan rakyat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kitang, Dato Ir. Lo Khere Chiang berkata, peningkatan lebih dua kali ganda dalam tempoh sedekad itu membuktikan keupayaan Sarawak memperkukuh hasil negeri melalui pengurusan sumber secara berhemah dan perancangan pembangunan yang berterusan.
“Apabila Premier kita mengambil alih jawatan pada 2017, hasil tahunan Sarawak berjumlah RM6.864 bilion. Bagi 2027, hasil diunjurkan mencecah RM15.091 bilion, lebih dua kali ganda angka tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan (2027), 2026 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 di sini, pada Rabu.
Menurutnya lagi, Belanjawan Sarawak 2027 turut memperuntukkan RM10.098 bilion bagi perbelanjaan pembangunan dengan unjuran lebihan sebanyak RM246 juta.
Katanya, kedudukan kewangan yang semakin kukuh membolehkan Sarawak meneruskan pelaksanaan projek pembangunan strategik termasuk pembinaan pelabuhan, jambatan, jalan raya dan infrastruktur Transit Aliran Autonomi (ART).
Pada masa sama, tumpuan turut diberikan kepada pembangunan sektor tenaga boleh diperbaharui, teknologi digital dan kecerdasan buatan (AI) sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi negeri.
Tambahnya, pembangunan luar bandar kekal menjadi keutamaan dengan peruntukan RM6.4 bilion dalam Belanjawan 2027 bagi memastikan kemajuan dan manfaat pembangunan dapat dinikmati secara lebih menyeluruh serta seimbang oleh rakyat di seluruh Sarawak.-EDISI UKAS