Peruntukan Penyelenggaraan RTP Dicadang Seiring Pertambahan Kemudahan Awam
KUCHING: Kerajaan Sarawak dicadang menyediakan peruntukan penyelenggaraan khusus bagi kemudahan awam yang dibangunkan menerusi Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) bagi memastikan kemudahan berkenaan terus berfungsi dengan baik dan selamat digunakan masyarakat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pujut, Adam Yii Siew Sang berkata, pertambahan kemudahan awam perlu disusuli sokongan kewangan dan tenaga kerja yang mencukupi kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) yang bertanggungjawab terhadap penyelenggaraannya.
Menurut beliau, kos penyelenggaraan seperti pemotongan rumput, pembersihan, pembaikan dan penggantian peralatan akan terus meningkat apabila semakin banyak kemudahan awam dibangunkan.
“Jika tanggungjawab ini diserahkan kepada PBT tanpa pertambahan tenaga kerja dan sumber kewangan yang sepadan, kita sebenarnya meningkatkan tanggungjawab mereka tanpa meningkatkan keupayaan untuk melaksanakannya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan (2027), 2026 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19, di sini pada Rabu.
Sehubungan itu, Adam mencadangkan supaya peruntukan penyelenggaraan ditentukan berdasarkan jumlah dan jenis kemudahan yang diselenggara oleh setiap PBT.
Beliau turut mencadangkan kerajaan mewujudkan rangka kerja penyerahan dan penyelenggaraan yang lebih jelas bagi kemudahan yang dibangunkan di bawah RTP bagi mengelakkan ketidakpastian mengenai pihak yang bertanggungjawab terhadap penyelenggaraan selepas projek siap.
Menurut Adam, pelaburan pembangunan yang telah dilaksanakan perlu disokong pengurusan penyelenggaraan yang terancang supaya kemudahan berkenaan dapat terus dimanfaatkan oleh masyarakat dalam jangka panjang.
Tegasnya, kejayaan RTP bukan hanya bergantung pada jumlah projek yang berjaya disiapkan, tetapi juga sejauh mana kemudahan tersebut dapat dikekalkan dalam keadaan baik untuk kegunaan rakyat.-EDISI UKAS
Disediakan oleh: Nur Nabilla
Foto: Ibanez Jeffery Guang